Perjuangan Reformasi PMX Perlu Diteruskan Untuk Penggal Kedua
- Suara Keadilan

- Feb 27
- 2 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Pidato Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail, baru-baru ini telah memperlihatkan suatu pendekatan yang berteraskan realiti politik dan pentadbiran semasa negara.
Ucapan tersebut tidak sekadar bersifat retorik politik, sebaliknya menggariskan tiga formula strategik yang boleh ditafsirkan sebagai kerangka tindakan bagi memperkukuh kedudukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Dalam menilai perjalanan sejarah perjuangan reformasi, penghargaan wajar diberikan kepada tokoh-tokoh awal seperti Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia, Mustapa Mansor yang sering dikaitkan sebagai antara pelopor awal gerakan reformasi.
Setelah lebih dua dekad perjuangan yang sarat dengan cabaran politik dan tekanan institusi, agenda reformasi akhirnya mencapai kemuncaknya apabila Datuk Seri Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri.
Kita tidak lupa bagaimana perjuangan ini bermula — dengan laungan di jalanan, dengan tekanan, dengan penghinaan, dengan lokap dan sepak terajang. Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anakanda seperti Nurul Izzah Anwar turut melalui fasa getir demi mempertahankan prinsip dan idealisme perjuangan.
Apa yang pasti, sejarah reformasi tidak dapat dipisahkan daripada episod-episod getir yang melibatkan penahanan, tekanan politik dan ujian moral terhadap para pendukungnya.
Cubaan sabotaj perjuangan reformasi
Hakikatnya, PMX telah melakukan yang terbaik untuk negara dalam suasana politik yang kompleks. Namun amat malang apabila masih ada segelintir pihak dalam kalangan sendiri yang seolah-olah mahu melihat beliau menjadi Perdana Menteri sepenggal sahaja.

Golongan sinis ini wajar kembali ke pangkal jalan kerana tindakan sedemikian hanyalah cubaan mensabotaj perjuangan reformasi yang masih kental dijunjung oleh PMX dan parti.
Kita harus sedar, bukan mudah untuk mana-mana pemimpin mentadbir negara dalam kerangka Kerajaan Perpaduan yang melibatkan 18 parti komponen.
Dalam kerangka pentadbiran semasa, Perdana Menteri menghadapi cabaran unik melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan. Mengurus kepelbagaian politik dalam struktur sedemikian bukan sahaja memerlukan kebijaksanaan strategik, malah komitmen terhadap prinsip asas negara, iaitu Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan kedaulatan undang-undang berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
PMX teruskan reformasi penggal kedua
Secara keseluruhannya, kesinambungan kepimpinan dalam konteks Kerajaan Perpaduan bukan sekadar persoalan individu, tetapi berkait rapat dengan kestabilan sistem politik dan keyakinan pelabur serta rakyat.
Justeru, harapan agar kepimpinan sedia ada dapat dikekalkan pada PRU akan datang perlu dilihat dalam kerangka kesinambungan dasar dan pemantapan reformasi institusi.
Saya berharap, pada PRU akan datang PMX dapat mengekalkan jawatan Perdana Menteri bagi meneruskan agenda reformasi dalam tempoh terakhir kepimpinannya.
Semoga Kerajaan MADANI terus kukuh dan berjaya demi kesejahteraan rakyat serta masa depan negara tercinta.
Penulis merupakan penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Politik SekPur




Comments