Dana Inovasi Media: Organisasi media tunjuk minat, 69 permohonan Fasa 1, 2
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan optimis Dana Inovasi Media bernilai RM30 juta mampu menjadi pemangkin ekosistem media yang lebih mampan dan berdaya saing, susulan sambutan positif pemain industri terhadap pelaksanaan Fasa 1 inisiatif tersebut.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, sebanyak 50 permohonan telah diterima bagi Fasa 1 yang dibuka antara 1 hingga 14 Januari lalu, dengan 34 organisasi media diluluskan pembiayaan berjumlah RM10.3 juta setakat ini.
"Sebanyak 50 permohonan telah diterima dan (ini) menunjukkan tahap keyakinan dan kesediaan pemain industri untuk bergerak ke arah transformasi yang lebih progresif.
"Keputusan ini juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan dana disalurkan secara berimpak tinggi, telus dan memberi manfaat langsung kepada pembangunan kapasiti industri termasuk aspek teknologi, kandungan dan pembangunan bakat.
"Dana ini bukan hanya bertujuan memperkukuh keupayaan organisasi media melalui penerapan teknologi baharu, pembangunan kandungan berkualiti serta peningkatan kemahiran tenaga kerja, malah menjadi pemangkin kepada ekosistem media lebih mampan, progresif dan berdaya saing terutama pada ketika pelbagai perubahan sedang melanda sektor media," katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di Putrajaya hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan permohonan bagi Fasa 2 yang telah dibuka antara 9 sehingga 22 Februari lalu, turut menunjukkan momentum positif dengan penyertaan sebanyak 19 organisasi media.
"Perkembangan ini memperlihat kesungguhan pemain industri untuk terus berinovasi serta menyesuaikan model perniagaan mereka dengan keperluan dan realiti perniagaan semasa.
"Kerajaan yakin inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada organisasi media terutama media tempatan untuk berkembang dan menyumbang kepada penyampaian maklumat yang tepat, berintegriti, beretika dan berkualiti kepada rakyat," katanya sambil menambah Fasa 3 akan dibuka pada Ahad ini sehingga 14 Mac.
Dana Inovasi Media diwujudkan bertujuan memperkasa organisasi media melalui latihan dan peningkatan kemahiran berkaitan teknologi media, selain menyokong pemberian atau naik taraf peralatan serta perisian dan pembangunan kandungan inovatif selari dengan usaha transformasi industri media negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian bantuan dana berjumlah RM30 juta bagi membantu organisasi media di negara ini melaksanakan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan.
Bantuan itu diumumkan Anwar yang juga Presiden KEADILAN ketika berucap merasmikan Hari Wartawan Nasional 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Jun tahun lalu.




Comments