Rumah ibadat haram: Isu basi, 'senjata' gugat kerajaan menjelang PRU 16?
- Akmal Manaf

- 16 minutes ago
- 2 min read

Isu rumah ibadat tidak sah atau 'kuil haram' yang kembali dimainkan ketika ini dilihat sebagai naratif politik pihak berkepentingan bagi memberi tekanan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, isu rumah ibadat tidak sah di Selangor atau di seluruh negara bukanlah perkara baharu, malah telah berlarutan sejak sekian lama dan tidak hanya berlaku di bawah Kerajaan MADANI.
Bahkan katanya, isu yang belum pernah diselesaikan itu telah berlarutan sejak pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) selama berpuluh tahun lalu dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah selama 33 bulan. Termasuk ketika Pas yang lantang menyokong aktivis anti kuil haram ketika ini berada dalam Kerajaan Negeri Selangor (2008 - 2018).
"Saya lihat isu kuil haram ini menjadi sebagai satu trend naratif oleh pihak yang (mempunyai) berkepentingan politik. Apabila naratif demi naratif berjaya dipatahkan oleh Kerajaan MADANI, maka akan timbul semula naratif 3R ini yang mengheret puak-puak tertentu untuk tampil ke hadapan dan menjadi ‘terpaling’ mempertahankan dan ‘terpaling’ menyerang.

"Kita lihat (kepada) kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Anwar pada Februari lalu. Beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya merobohkan atau mengambil tindakan tegas terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram.
"Takkan dalam masa satu bulan selepas arahan itu dikeluarkan, PBT terus nak merobohkan semua sekali? Perkara itu tidak boleh diambil secara ‘semberono’ (secara tergesa-gesa tanpa fikir panjang).
"Ini kerana negara kita mempunyai undang-undang dan terdiri daripada pelbagai anutan agama," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa aktivis yang menentang kewujudan kuil tidak sah di Selangor dilihat hanya lantang bersuara ketika Kerajaan MADANI memerintah, sedangkan isu berkenaan telah berlarutan, termasuk ketika Pas berada dalam Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Eddiarman menyifatkan isu kuil haram itu sebagai naratif politik yang ditunggang pihak tertentu bertujuan dijadikan bahan untuk menghentam Kerajaan MADANI, terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 yang mungkin diadakan hujung tahun ini.
"Contoh yang berlaku semalam, apabila seorang pempengaruh dilihat mengangkut sebatang besi (menyerupai trisul) yang mungkin milik sebuah kuil yang telah ditinggalkan, lalu memacaknya semula sehingga menimbulkan sindiran daripada sesetengah pihak yang menyamakan objek itu dengan alatan dalam filem Aquaman. Itu adalah perkara yang tidak baik.
"Inilah sebenarnya yang ingin dibawa pihak yang ada kepentingan dalam politik ini. Sebenarnya bukanlah untuk mempertahankan sangat atau memperjuangkan sangat (isu berkenaan), tapi lebih kepada nak ambil ruang dan peluang daripada isu yang sensitif ini untuk menghentam Kerajaan MADANI ini dan akhirnya mengheret isu sehingga ke Pilihan Raya Umum akan datang.
"Dalam masa dua tahun ini, bila-bila masa sahaja akan berlaku PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN). Jadi inilah peluang yang mereka gunakan, sedangkan ada banyak lagi isu yang boleh diutarakan oleh pihak yang berkepentingan politik ini seperti isu hak kebajikan rakyat," katanya sambil menempelak pihak yang terlibat.




Comments