PRU 16: Pahang perlu politik stabil demi rakyat, ruang perkukuh parti
- Sidiqin Omar

- 1 minute ago
- 2 min read

Kestabilan kerajaan negeri Pahang perlu terus dipertahankan kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan hidup rakyat serta memberi ruang kepada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan memperkukuh kedudukan masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pahang, Zukri Aksah berkata, dalam keadaan landskap politik semasa yang masih dinamik, kestabilan pentadbiran negeri menjadi keutamaan demi memastikan urusan pentadbiran dan kebajikan rakyat dapat berjalan dengan baik.
"Kita memang menyokong untuk punya sebuah kerajaan negeri yang stabil kerana ia berkait dengan kenyamanan hidup rakyat dan kerukunan bernegeri, juga bernegara," katanya, kepada Suara Keadilan.
Menurut beliau, tempoh kestabilan kerajaan juga memberi peluang kepada KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) untuk memperkukuh organisasi parti serta meningkatkan sokongan rakyat di Pahang.
Katanya, kedudukan yang lebih kuat dalam kerajaan selepas pilihanraya akan datang membolehkan lebih banyak agenda perubahan dan pembaikan dilaksanakan di negeri itu.

"Tempoh berkerajaan yang stabil memberi ruang kepada kita untuk memperkuatkan parti, seterusnya masuk pilihanraya dan menang lebih banyak kerusi di Pahang.
"Ini akan membenarkan kita melakukan lebih banyak usaha pembaikan di negeri ini bila kedudukan kita dalam kerajaan lebih kuat," katanya mengulas penekanan kerajaan negeri terhadap isu kestabilan politik sejak kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Zukri berkata dalam konteks Kerajaan Perpaduan di Pahang, KEADILAN dan PH tidak mempunyai kedudukan dominan, justeru banyak keputusan perlu dibuat berdasarkan keutamaan semasa.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan kerjasama politik dalam kerajaan negeri terus berjalan secara matang dan harmoni.
"Dalam keadaan begini segalanya berpandu kepada Fiqh Al-Aulawiyat, ada yang kita pertahankan dan ada yang kita tangguhkan dahulu," katanya.
Beliau turut menegaskan KEADILAN tetap memainkan peranan semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri menerusi wakil-wakil parti yang berada dalam pelbagai peringkat pentadbiran.
"Kita ada Exco dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kita ada Ahli Majlis di hampir semua Majlis Kerajaan Tempatan di Pahang dan kita juga ada pengerusi JPKK di beberapa kawasan.
"Merekalah agen kita dalam melakukan kerja-kerja semak dan imbang," katanya.
Dalam masa sama, Zukri mengakui terdapat beberapa keputusan kerajaan negeri yang kurang dipersetujui KEADILAN, termasuk isu pelantikan penyelaras Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi Perikatan Nasional (PN).
"Saya rasa perihal keperluan tadbir urus yang lebih adil terhadap parti-parti politik di negeri ini dalam agihan bantuan dan peruntukan tidak perlu saya jawab.
"Saya tiada kapasiti untuk itu, Umno yang perlu menjawabnya, bahkan saya juga tiada kapasiti untuk mempertahankan tindakan tersebut," ujarnya lanjut.
Bagaimanapun katanya, KEADILAN tetap memilih untuk mengutamakan adab dan kerukunan dalam kerajaan perpaduan walaupun wujud perbezaan pandangan dengan rakan gabungan.
Beliau berkata agenda reformasi institusi terus menjadi agenda perjuangan KEADILAN, namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat dan dekat dengan kefahaman rakyat.
Menurutnya, rakyat lebih mudah memahami konsep reformasi melalui isu-isu berkaitan pemusatan kuasa dan tadbir urus di peringkat komuniti sebelum dibawa kepada isu nasional seperti had tempoh jawatan Perdana Menteri dan pengasingan kuasa Peguam Negara serta Pendakwa Raya.




Comments