RON95 kekal RM1.99, kerajaan serap impak harga minyak dunia
- Azuan Ab Rahman

- 12 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter di tengah-tengah krisis minyak global yang semakin membimbangkan.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya semalam memaklumkan, konflik berlarutan di Asia Barat telah melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40 peratus hingga melepasi AS$100 setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia.
Tambahnya, walaupun Malaysia adalah negara pengeluar minyak, harga domestik bahan api itu turut dipengaruhi pasaran antarabangsa.
"Kerajaan MADANI kekal komited melindungi kesejahteraan rakyat dalam keadaan pasaran minyak global yang tidak menentu
"Dalam keadaan itu, Kerajaan Madani mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui Budi Madani RON95 (BUDI95), manakala harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga global sejak penghujung Februari 2026," menurut kenyataan itu.
MOF sementara itu memaklumkan, selaras Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026 bagi RON97 adalah pada kadar RM5.15 seliter, sementara RON95 tanpa subsidi RM3.87 seliter.
Manakala harga diesel bagi tempoh sama ialah RM5.52 seliter di Semenanjung Malaysia dan RM2.15 seliter bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.
"Kerajaan memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan beban rakyat termasuk memastikan penerima layak terus menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter.
"Diesel bagi pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter, dengan beban subsidi Kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.
"Manakala bantuan diesel individu dipertingkatkan apabila kadar BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM300 pada bulan Mac 2026, berbanding RM200 sebulan sebelum ini," tambah kenyataan tersebut.
Menerusi kenyataan tersebut, MOF turut menyatakan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara.




Comments