RM40 bilion subsidi minyak: Harga RON95 paling rendah di dunia - PM
- Helmi Mohd Foad

- 15 minutes ago
- 3 min read

Malaysia masih mampu mengekalkan bekalan RON95 dan diesel serta harga RON95 antara yang terendah di dunia ketika negara berdepan krisis tenaga global namun kelebihan itu datang dengan kos besar apabila kerajaan membelanjakan kira-kira RM40 bilion bagi subsidi bahan api.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keadaan Malaysia ketika ini jauh lebih baik berbanding beberapa negara jiran yang berdepan kekurangan bekalan sehingga pengguna terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan minyak malah terdapat sebuah negara yang menyaksikan 40 stesen minyak ditutup dalam tempoh sehari.
Kerajaan perlu menanggung subsidi berkenaan bagi memastikan rakyat tidak terlalu terkesan dengan peningkatan harga minyak dunia khususnya ketika konflik dan gangguan laluan perdagangan tenaga global semakin memberi tekanan kepada pasaran, ujarnya yang juga Menteri Kewangan.
"Sekarang, walaupun dalam keadaan kekangan ekonomi, kita masih bertahan untuk menetapkan harga RON95 paling rendah di dunia. Ini bukan mudah," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya hari ini.
Hadir sama Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Anwar berkata, keputusan kerajaan menaikkan kuota subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter juga perlu dilihat dari sudut kos yang ditanggung negara, bukannya sekadar jumlah tambahan yang diterima pengguna.
"Jumlah (kuota) daripada 200 seliter ke 300. Bila saya dengar mula, saya tak berapa setuju. Saya kata ini kos. Kita dah bayar RM40 bilion. Ini bukan RM200 juta, RM300 juta. RM40 bilion subsidi harga minyak," katanya.
Menurut beliau subsidi bahan api bukan sesuatu yang percuma kerana perbelanjaan itu akhirnya ditanggung oleh kerajaan menggunakan wang negara yang datang daripada pembayar cukai.
"Jadi, tiap kali ambil minyak itu tolonglah fikir. Ambil yang perlu. Sebab negara bayar. Negara siapa? Pembayar cukai. Daripada semua kaum, semua wilayah," katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan memahami bahawa kuota 200 liter mungkin mencukupi bagi sebahagian pengguna tetapi tidak semestinya memadai bagi mereka yang perlu melakukan perjalanan jauh setiap hari termasuk dari Seremban ke Kuala Lumpur atau Putrajaya.
Beliau berkata perkara itu menyebabkan kerajaan terus menilai dan mencari kaedah terbaik bagi memastikan bantuan subsidi bersasar dapat memenuhi keperluan rakyat tanpa meningkatkan beban kewangan kerajaan secara berlebihan.
"Kalau orang itu duduk Seremban, kerja di Kuala Lumpur atau kerja di Putrajaya, mungkin tak cukup. Orang naik pemandu Grab, kemudahan-kemudahan ini, nampak belum cukup.
"Jadi...runding, runding, naik lagi. Bila naik lagi, tanggungan kerajaan lebih tinggi," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata tekanan terhadap bekalan tenaga ketika ini jauh berbeza berbanding pengalaman beliau ketika menjadi Menteri Kewangan sebelum ini apabila ekonomi negara mencatat pertumbuhan sekitar sembilan hingga 10 peratus dan keadaan harga minyak dunia lebih terkawal.
Katanya krisis semasa turut dipengaruhi konflik di Asia Barat sehingga laluan strategik seperti Selat Hormuz terjejas sekali gus memberi kesan langsung terhadap pergerakan kapal tangki minyak.
Beliau berkata hubungan baik Malaysia dengan negara-negara lain termasuk Iran, turut membantu negara menguruskan kepentingan bekalan tenaga ketika berdepan situasi berkenaan.
Anwar berkata beliau sendiri menghubungi Presiden Iran bagi memaklumkan mengenai kapal Petronas yang terkandas di Selat Hormuz kerana membawa bekalan minyak untuk keperluan domestik negara.
"Walaupun banyak orang sindir saya kata telefon, memang betul. Saya bercakap sendiri dan itu ada rekod.
"Saya kata kami ada masalah sedikit, kapal kami sangkut. Di mana? Saya kata di Selat Hormuz, kapal Petronas untuk keperluan minyak dalam negara, bukan untuk eksport.
"Tahu Presiden Iran kata kepada saya apa? ‘Brother Anwar, sebaik habis ini, saya akan usahakan, uruskan supaya kapal ini dapat lepasi sekatan di Selat Hormuz’," katanya.
Dalam masa sama Anwar menegaskan pendekatan Malaysia adalah untuk mengekalkan hubungan dan perdagangan dengan semua negara walaupun mengambil pendirian tegas terhadap Israel berhubung isu Palestin.
Beliau berkata Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan akan mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti perdagangan yang membawa barangan ke Israel melalui pelabuhan negara.
Namun katanya hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara lain perlu diteruskan demi kepentingan ekonomi Malaysia, termasuk bagi memastikan pasaran eksport negara kekal terbuka.
"Kita nak eksport minyak sawit ke negara-negara Eropah, China, India dan Amerika. Ini langkah-langkah yang kita harus ambil," katanya.




Comments