1MDB: RM31.3 bilion dana dipulangkan, kerajaan berjaya pulih integriti
- Helmi Mohd Foad

- May 7
- 2 min read

Kejayaan negara memperoleh semula RM31.3 bilion dana berkaitan skandal 1MDB merupakan bukti jelas kesungguhan dan konsistensi Kerajaan MADANI dalam memperjuangkan prinsip integriti, ketelusan serta tadbir urus yang baik.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Bukit Mertajam, Abshar Nurasyraf Amram berkata pencapaian tersebut bukan sekadar melibatkan angka besar, sebaliknya melambangkan komitmen kerajaan untuk memastikan wang rakyat yang diseleweng dipulangkan semula kepada negara.
"Pencapaian ini bukan sekadar satu angka yang besar, tetapi merupakan manifestasi jelas kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan hak rakyat yang telah disalahgunakan dipulangkan semula kepada rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Abshar Nurasyraf yang juga Setiausaha AMK Pulau Pinang berkata, usaha pemulihan dana berkenaan dilaksanakan secara konsisten, menyeluruh dan tegas di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Usaha pemulihan ini dilaksanakan secara konsisten, menyeluruh, berakauntabiliti dan tegas, mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.
"Proses membawa pulang dana ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan ia melibatkan rangkaian kewangan antarabangsa yang kompleks, pelbagai bidang kuasa undang-undang serta rundingan yang memerlukan ketelitian dan ketegasan politik," katanya.

Beliau berkata kerajaan tetap meneruskan usaha itu melalui pendekatan strategik melibatkan tindakan perundangan, rundingan penyelesaian serta kerjasama dengan pihak antarabangsa termasuk United States Department of Justice (DoJ).
"Namun kerajaan tetap konsisten meneruskan usaha ini melalui pendekatan strategik merangkumi tindakan perundangan, rundingan penyelesaian serta kerjasama erat dengan agensi antarabangsa termasuk DoJ," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan berkenaan turut membuktikan konsistensi perjuangan Anwar Ibrahim yang telah lama membangkitkan isu 1MDB sejak berada di blok pembangkang.
"Pada ketika ramai memilih untuk berdiam diri atau mempertahankan naratif yang mengelirukan, beliau telah bangkit di Parlimen dan di pentas rakyat untuk mempersoalkan ketelusan serta tadbir urus dana tersebut," katanya.
Menurut beliau, perjuangan itu tidak terhenti di Dewan Rakyat sahaja, malah diterjemahkan melalui siri penerangan kepada rakyat di seluruh negara sehingga isu 1MDB menjadi perhatian nasional.
Beliau berkata ketegasan pendirian Perdana Menteri itu kekal meskipun berdepan tekanan politik dan cabaran peribadi.
"Konsistensi tersebut akhirnya terbukti apabila siasatan di peringkat antarabangsa mengesahkan berlakunya penyelewengan berskala besar sekali gus mengabsahkan kebimbangan yang telah lama dibangkitkan," katanya.
Tambah beliau, kejayaan mendapatkan semula dana berkenaan bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perjuangan panjang yang berasaskan prinsip dan keberanian politik.
"Ia membuktikan bahawa reformasi bukan sekadar retorik sebaliknya dilaksanakan dengan penuh kesungguhan apabila diberi tanggungjawab memimpin," katanya lagi.




Comments