RM100,000 perkasa pendidikan digital SK Batu Anam melalui Sekolah Angkat MADANI


Peruntukan RM100,000 menerusi Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) dimanfaatkan bagi mewujudkan SKEBAT Digital Classroom di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam, di sini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, peruntukan berkenaan bukan sekadar menyediakan kemudahan teknologi, sebaliknya bertujuan memberi manfaat secara langsung kepada pembangunan murid, pengukuhan ekosistem pembelajaran dan usaha membina perpaduan masyarakat di daerah Segamat.
"Penyerahan mock cheque bernilai RM100,000 pada hari ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan bagaimana peruntukan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan dapat diterjemahkan kepada kemudahan pendidikan yang memberi manfaat secara langsung kepada pembangunan murid, pengukuhan ekosistem pembelajaran dan usaha membina perpaduan masyarakat di Daerah Segamat," katanya sewaktu meyerahkan bantuan tersebut baru baru ini.
Beliau berkata, kemudahan SKEBAT Digital Classroom bukan hanya untuk murid SK Batu Anam, malah boleh dimanfaatkan guru dan murid daripada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) berhampiran.
"Guru dan murid daripada SJK(C) dan SJK(T) berhampiran turut boleh memanfaatkannya bagi latihan, program pendidikan dan aktiviti pembelajaran bersama.
"Pendidikan ialah tapak integrasi yang sangat penting kerana nilai saling menghormati, bekerjasama, berkongsi, bertolak ansur dan berkomunikasi dengan baik perlu dipupuk sejak kecil," katanya.

Menurutnya, kemudahan berkenaan juga perlu dimanfaatkan secara optimum dan tidak hanya dilihat sebagai sebuah bilik yang dilengkapi teknologi moden.
"Saya berharap kemudahan ini tidak hanya dilihat sebagai sebuah bilik dengan teknologi dan peralatan moden. Ia mesti menjadi ruang pembelajaran yang benar-benar signifikan dan digunakan secara optimum oleh murid, guru serta komuniti pendidikan," katanya.
Yuneswaran turut berharap penubuhan Kelab Rukun Negara di SK Batu Anam dapat disegerakan bagi menerapkan semangat cintakan negara dan pembudayaan Rukun Negara secara lebih tersusun dalam kehidupan harian murid.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, aktiviti di bawah Program Sekolah Angkat MADANI juga perlu memberi perhatian kepada nilai murni, jati diri, integriti, kebijaksanaan dan akhlak sebagai asas pembentukan generasi masa hadapan.
"Pada masa ini, terdapat 84 buah Kelab Rukun Negara di sekolah rendah dan menengah serta tiga buah Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi dalam Daerah Segamat.
"Angka ini perlu disusuli dengan pengisian yang bermakna melalui kerjasama bersepadu antara pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Segamat dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional supaya murid memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara melalui pengalaman, bukan sekadar hafalan," katanya.
Selain itu, beliau berkata penguasaan teknologi digital, kreativiti, literasi maklumat dan kemahiran masa hadapan semakin penting bagi memastikan generasi muda bersedia menghadapi perubahan dunia.
Katanya, pendidikan digital bukan semata-mata untuk melahirkan murid yang cekap menggunakan teknologi, tetapi turut perlu membentuk generasi yang berilmu, berakhlak, mampu bekerjasama dan menghormati orang lain.
Yuneswaran turut mengingatkan supaya peruntukan RM100,000 itu dimanfaatkan secara berterusan, termasuk memastikan semua peralatan teknologi diurus dan diselenggara dengan baik supaya dapat digunakan dalam tempoh panjang.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pemberian kuota Sekolah Angkat MADANI di Parlimen Segamat serta Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Segamat, pihak pengurusan SK Batu Anam dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor atas kerjasama menjayakan projek berkenaan.
"Dengan penuh rasa sukacita, saya menyempurnakan Majlis Penyerahan Mock Cheque bagi Projek SKEBAT Digital Classroom di Sekolah Kebangsaan Batu Anam, Segamat.
"Saya berharap kemudahan ini menjadi pemangkin kepada pendidikan digital yang berkualiti, pembentukan jati diri yang kukuh dan perpaduan yang lebih erat dalam kalangan generasi muda di Segamat," katanya lagi.




Comments