Retorik 'penyatuan ummah' PN-BN bakal gagal akibat tamak kuasa


Pakatan Harapan (PH) menyifatkan usaha menggabungkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) atas nama "penyatuan ummah" bukan sahaja pernah gagal beberapa kali dalam sejarah politik negara, malah dijangka mengulangi kegagalan sama kerana dibelenggu sikap tamak kuasa dan pengkhianatan politik.
Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata, percubaan menyatukan Pas dan Umno bukan perkara baharu sebaliknya telah beberapa kali berlaku tetapi ia tidak pernah menghasilkan kestabilan politik mahupun manfaat kepada rakyat.
"Sejarah membuktikan usaha sedemikian pernah berlaku pada 1972 apabila Pas menyertai Barisan Nasional (BN), pada 2008 selepas BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan 2018 selepas BN tewas buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
"Ketiga-tiga detik percubaan ini gagal dengan begitu dahsyat dan bakal gagal sekali lagi kerana tabiat yang ditampilkan oleh beberapa pihak parasit politik ini tiada prinsip, miskin maruah, tamak kuasa dan bakal menghadapi gelagat pengkhianatan apabila nafsu politik tidak tercapai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN turut mengingatkan Presiden Pas, Hj Hadi Awang sendiri pernah menuduh Umno sebagai parti jahiliah pada 1981 namun kini dilihat mahu bergabung semula dengan parti itu atas alasan perpaduan ummah.
Beliau berkata, dakwaan bahawa gabungan politik berasaskan "penyatuan ummah" mampu menyelesaikan masalah rakyat juga tidak disokong oleh prestasi negeri-negeri yang ditadbir PN.
Katanya, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang dikuasai PN sepatutnya menjadi negeri paling maju sekiranya formula tersebut benar-benar berkesan.
"Kalau betul 'penyatuan ummah' boleh menyelesaikan semua masalah rakyat dan memajukan ekonomi, rakyat di negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sepatutnya sudah hidup jauh lebih selesa dan mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding penduduk di Tokyo, Dubai dan Doha," katanya.
Sebaliknya, beliau berkata realitinya ramai rakyat dari negeri-negeri terbabit memilih berhijrah ke Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bagi mendapatkan peluang pekerjaan serta kehidupan yang lebih baik.
Dalam masa sama, Amirudin memberi amaran bahawa BN berisiko menjadi pihak yang akhirnya didominasi PN sekiranya kerjasama itu diteruskan.
"Barisan Nasional perlu menyedari hakikat ini kerana tidak lama lagi mereka akan cuba ditelan oleh Perikatan Nasional. Tanda-tanda PN ingin mendominasi BN sudahpun ada dengan ungkapan 'Perikatan Barisan Nasional'," katanya.
Beliau berkata, PH sebaliknya telah membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dibina atas asas kepercayaan, nilai dan akhlak berjaya membawa manfaat kepada rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan kini di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, pencapaian itu dapat dilihat menerusi bantuan kos sara hidup kepada golongan memerlukan, peluang pendidikan dan pekerjaan berkualiti untuk anak muda, penyediaan rumah mampu milik, selain memastikan keharmonian antara agama terus terpelihara.
"Jika pihak lain yang ketandusan idea ingin menghantui rakyat dengan retorik politik 'penyatuan ummah', tekad Pakatan Harapan berlandaskan Kesatuan Rakyat selaras Prinsip Rukun Negara bagi masa depan Negeri Sembilan dan Malaysia yang makmur, harmoni, stabil dan melalui pembangunan sebuah masyarakat yang yakin dan berwawasan," katanya.




Comments