Retorik 'keadilan' Pas tanpa bukti, tidak memadai - Intelek
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Naratif kepimpinan berteraskan keadilan yang sering diangkat dalam wacana politik perlu disokong dengan bukti pentadbiran yang nyata, bukan sekadar retorik, kata Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob.
Beliau mengulas artikel Minda Presiden Pas "Pemimpin dihormati kerana keadilannya, bukan ditaati kerana ditakuti kezalimannya" oleh Hj Hadi Awang yang sekali lagi mengulangi naratif bahawa kepimpinan dihormati kerana keadilan, namun gagal menjawab persoalan utama berkaitan pelaksanaan dalam realiti semasa terutama di negeri yang ditadbir pembangkang Pas.
"Persoalan yang lebih penting ialah di manakah bukti keadilan itu dalam pentadbiran sebenar? Rakyat hari ini tidak lagi menilai pemimpin berdasarkan retorik agama semata-mata, tetapi melalui prestasi, kecekapan dan hasil yang dirasai secara langsung," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, walaupun artikel tersebut sarat dengan rujukan ayat al-Quran dan kisah sejarah Islam, ia tidak menawarkan penyelesaian konkrit terhadap isu-isu utama rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan, pembangunan ekonomi serta kemudahan infrastruktur.

"Artikel tersebut hanya mengulang naratif lama tentang keadilan Islam tanpa membuktikan bagaimana ia diterjemahkan dalam pentadbiran sebenar. Keadilan bukan sekadar slogan, tetapi hasil pentadbiran yang dirasai rakyat," ujarnya.
Ahmad Nadhir turut menegaskan bahawa Islam bukan milik mana-mana parti politik dan nilai keadilan yang dibawa adalah bersifat universal.
"Menggunakan naratif ‘kepimpinan Islam’ untuk meraih sokongan politik hanya mengaburkan realiti bahawa keadilan mesti dibuktikan melalui prestasi, bukan retorik," jelasnya.
Beliau juga menyifatkan dakwaan bahawa Islam sedang ditekan sebagai tidak selari dengan keadaan semasa negara.
"Realiti Malaysia menunjukkan Islam kekal sebagai agama Persekutuan, institusi Islam terus diperkukuh, peruntukan meningkat dan pendidikan Islam berkembang. Naratif bahawa Islam ditekan lebih bersifat retorik politik untuk membina sentimen emosi," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan kini memberi fokus kepada usaha menstabilkan ekonomi, mengawal inflasi, menarik pelaburan dan menjamin kestabilan negara.
"Rakyat semakin matang. Mereka menilai berdasarkan prestasi pentadbiran, peluang ekonomi, pembangunan negeri dan kualiti hidup, bukan sekadar retorik," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keadilan hanya akan dihormati apabila ia benar-benar dibuktikan melalui pentadbiran yang berkesan dan dirasai oleh rakyat.
"Tanpa semua ini, naratif keadilan hanya tinggal retorik politik yang berulang," katanya lagi.




Comments