top of page

Kaji kerjasama dengan Bersatu: Hakikatnya Pas tidak boleh dibuat kawan - Faiz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 2 min read

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil (gambar), mendakwa kenyataan terbaharu Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mahu menilai semula kerjasama dengan Bersatu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.


Dakwa beliau, tindakan Pas itu mungkin merupakan usaha parti berkenaan untuk kembali menjalin kerjasama dengan UMNO, dan bukan sangat berpunca daripada isu melibatkan pemecatan wakil rakyat Bersatu di beberapa negeri sebagaimana dikritik Hj Hadi dalam sidang medianya baru baru ini.


"Pas sedang berusaha untuk berpakat semula dengan UMNO bukan kerana isu ketidakpuashatian terhadap tindakan ADUN Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan, tetapi kerana merasakan Bersatu tidak lagi diperlukan," katanya dalam satu kenyataan.


Faiz turut mengkritik pendekatan Pas yang didakwa menggunakan agama bagi mengabsahkan tindakan politik, selain melabel pihak atau parti lain secara negatif apabila tidak lagi sehaluan.


Beliau juga membangkitkan sejarah hubungan Pas dengan beberapa parti politik lain termasuk UMNO, DAP dan KEADILAN yang menurutnya sering berubah-ubah mengikut kepentingan semasa.


Mengimbas kembali, Faiz merujuk kepada kepimpinan mantan Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang disifatkannya lebih konsisten dalam menjaga hubungan dengan rakan politik pada era 1990an lalu.


"Saya tak sabar menunggu dalil baharu yang akan dicipta Pas bagi menghalalkan tindakan politik terbaru ini," katanya.


Pada masa sama, beliau menyindir sikap Pas dengan mengaitkan kisah analogi “kambing” yang pernah diungkapkan oleh Fadzil dalam muktamar parti itu suatu ketika dahulu.


“Ada satu pertandingan bau kambing paling lama, peserta paling lama dia pemenang. Maka si A masuklah ke dalam kandang kambing, hanya bertahan seminit, dia pun keluar. Giliran si B pula masuk ke kandang kambing, dan mampu bertahan 3 minit.


Kemudian masuklah pula si C ke kandang kambing, tak sampai seminit, yang keluar bukan si C, tapi kambing”. Ungkapan itu kata Faiz, dituruti gelak ketawa para perwakilan.


"Dalam gelak ketawa itu, ungkapan tersebut penuh dengan hikmah. Tetapi ketika itu, Pas sangat berdisplin dan menghormati kawan politik mereka.


"Di bawah kepimpinan almarhum Fadzil Noor, Pas tidak pernah meninggalkan kawan politik dan kekal menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, dan sehingga ke hujung nyawanya membela Anwar," katanya.


Namun, ujar beliau sejak kepimpinan Hj Hadi, Pas sering bertukar kawan politik, pernah bermesra dengan DAP tetapi dibuang ke tepi, begitu juga KEADILAN dan seterusnya UMNO.


Justeru, Faiz menegaskan bahawa perubahan pendirian terini Pas menunjukkan sikap tidak konsisten parti itu dalam politik dan memberi kesan terhadap kepercayaan rakan kerjasama.


Hakikatnya, kata beliau, Pas pada waktu ini tidak boleh dibuat kawan kerana sikap politiknya yang berubah ubah dan hipokrit.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page