Dr Zulkifli junjung titah Sultan Selangor, seru rakyat hayati Rukun Negara
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar), menjunjung kasih atas titah dan nasihat yang dizahirkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kepentingan memelihara keharmonian serta kestabilan dalam kerangka semangat Rukun Negara.
Menurut beliau, titah Sultan Selangor itu amat signifikan dalam mengingatkan rakyat mengenai peranan institusi Raja dan kepentingan perpaduan dalam negara.
"Saya menginsafi titah Tuanku dan mewakili seluruh agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menjunjung kasih atas nasihat serta peringatan yang telah dizahirkan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa Rukun Negara yang menjadi asas kepada pembentukan negara telah menggariskan hubungan jelas antara raja dan rakyat dalam memastikan kestabilan serta kesejahteraan negara terus terpelihara.
"Rukun Negara secara falsafahnya diangkat sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan menjadi asas penting dalam mengekalkan perpaduan sejak sekian lama," jelas beliau.
Sehubungan itu, Zulkifli menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia agar terus menghayati semangat Rukun Negara serta menghormati institusi Raja.
"Saya menyeru seluruh rakyat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan, berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, serta memelihara keseimbangan kuasa dan keharmonian negara demi kepentingan bersama," katanya.
Untuk rekod pada 19 Mei lalu, Sultan Selangor menzahirkan harapan agar orang ramai terutama generasi muda berkunjung ke Dataran Selangor yang menempatkan Plak Monumen Rukun Negara untuk membaca serta menghayati prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan rakyat Malaysia.
Baginda juga menyeru kepada semua Ahli Dewan Negeri Selangor untuk datang ke Dataran Selangor dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen berkenaan.




Comments