Jika bina hospital mudah, kenapa tidak selesaikan waktu PN memerintah?
- Redzuan Shamsudin

- 4 minutes ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mengecam kenyataan Ketua Armada Negeri Selangor yang memperlekehkan Kerajaan Negeri dalam usaha mencari tapak sesuai membina hospital di kawasan maju dan padat penduduk, seperti Petaling Jaya.
Naib Ketua AMK Malaysia, Nabil Halimi (gambar), mengingatkan Ketua Armada Selangor, Na’im Brundage supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang bersifat simplistik berhubung isu pembinaan hospital, seolah-olah hal itu boleh diselesaikan hanya melalui sidang media atau kenyataan politik.
Beliau menegaskan bahawa pembinaan hospital awam melibatkan proses teknikal yang kompleks dan memerlukan perancangan menyeluruh, termasuk aspek tanah, kesesuaian lokasi, akses rakyat, jaringan pengangkutan serta kapasiti rawatan.
"Pembinaan hospital di sesebuah kawasan mempunyai proses teknikal yang panjang. Ia melibatkan perancangan tanah, kesesuaian lokasi, akses rakyat, jaringan pengangkutan, kapasiti rawatan, kos pengambilan tanah serta kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata adalah tidak wajar untuk membandingkan hospital kerajaan dengan hospital swasta kerana kedua-duanya beroperasi berdasarkan model pembangunan yang berbeza.
"Hospital swasta boleh memilih lokasi berdasarkan pulangan pelaburan dan pasaran, tetapi hospital kerajaan mesti mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh, termasuk golongan B40, warga emas, keluarga muda dan masyarakat yang benar-benar bergantung kepada sistem kesihatan awam," jelas beliau.
Dalam masa sama, Nabil menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor kini sedang menunjukkan perkembangan positif dalam usaha membina hospital awam pertama di Petaling Jaya, dengan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan sedang mengenal pasti tapak yang sesuai.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun Kerajaan Negeri boleh membantu dari sudut penyediaan tanah dan penyelarasan, tanggungjawab utama pembinaan dan pengoperasian hospital terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mengulas isu pengambilan tanah, beliau berkata kuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa melalui proses undang-undang yang ketat.
"Pengambilan tanah tetap melibatkan proses undang-undang, kajian kesesuaian tapak, pewartaan, pampasan dan implikasi kewangan kepada wang awam. Lebih-lebih lagi di kawasan matang seperti Petaling Jaya, Subang dan Puchong, kos tanah boleh menjadi sangat tinggi," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pendirian pihak pembangkang, khususnya Bersatu, yang menurutnya gagal menyelesaikan isu kapasiti hospital di Selangor ketika berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (2020 - 2022) sebelum ini.
"Jika Bersatu benar-benar serius soal hospital awam, mengapa ketika mereka berada dalam kerajaan dahulu isu kapasiti hospital di Selangor tidak diselesaikan? Jangan hari ini berlagak menjadi juara rakyat, sedangkan ketika berkuasa dahulu isu yang sama tidak selesai," sinisnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu kesihatan rakyat tidak seharusnya dijadikan bahan politik dengan kenyataan yang tidak mencerminkan realiti pentadbiran.
Untuk rekod, Pemuda Bersatu (Armada) Selangor sebelum ini mengecam alasan MB Selangor, Datuk Seri Amirudin berhubung isu ketiadaan hospital kerajaan di Puchong, Petaling Jaya dan Subang.
Ketuanya Na’im Brundage menyifatkan alasan bahawa Kerajaan Negeri masih dalam proses mencari tanah sesuai untuk membina hospital di kawasan berkepadatan tinggi itu sebagai alasan memalukan dan menghina kebijaksanaan rakyat Selangor.
Naim turut membandingkan dengan pencapaian hospital swasta yang tidak berdepan masalah untuk mencari tapak dan berjaya membina tiga hospital pakar berskala besar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu Hospital Picaso, Sunway Medical Centre Damansara dan Damansara Specialist Hospital 2.




Comments