Sumbangan 33 ekor lembu korban kepada masjid, surau Parlimen Kuantan
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 1 min read

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, kelmarin menyampaikan sumbangan 33 ekor lembu korban kepada 33 buah masjid dan surau laksana Jumaat di seluruh Parlimen Kuantan dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Kuantan.
Sumbangan ini bertujuan menyemarakkan lagi pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun 2026 yang akan bermula pada 27 Mei 2026. Setiap masjid dan surau yang terpilih akan menerima seekor lembu bagi diagihkan kepada asnaf dan kariah setempat.
Dalam majlis tersebut, Datuk Farhan menyatakan bahawa inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam meraikan ibadah korban.
"Program ini bukan sekadar agihan daging korban, tetapi juga untuk mengeratkan ukhuwah antara masyarakat, institusi masjid dan surau, serta kerajaan. Semoga sumbangan kecil ini memberi manfaat besar kepada penduduk Parlimen Kuantan," katanya.
Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan ialah Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, bersama pemimpin masyarakat dan jawatankuasa masjid serta surau yang terlibat.
Fakhrul Anuar dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak Pejabat Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap keperluan komuniti di peringkat akar umbi. Beliau berharap program seperti itu dapat diteruskan setiap tahun bagi memperkukuh semangat gotong-royong dan kepedulian sosial.
Penyerahan lembu korban, katanya akan diselaraskan oleh pihak masjid dan surau masing-masing mengikut garis panduan ibadah korban yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang.




Comments