‘Reformasi tidak mati, hanya jiwa rapuh yang pergi’ - Wanita KEADILAN
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

Perjuangan Reformasi akan terus kekal utuh meskipun berdepan episod perpecahan dan tindakan beberapa bekas pimpinan yang memilih untuk menubuhkan parti baharu.
Naib Ketua Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean (gambar) berkata, penubuhan parti baharu oleh mantan pimpinan parti merupakan sebahagian daripada dinamika biasa dalam sistem demokrasi yang matang, dan hal itu tidak menjadi masalah besar kepada sebuah parti yang mempunyai pendukung berjiwa kental.
"Sebagai seorang yang bergelumang dalam dunia politik selama 18 tahun, saya melihat perkembangan ini dengan tenang dan rasional. Dalam politik, pemimpin datang dan pergi. Ada yang memilih untuk terus bersama parti, ada yang memilih haluan baharu kerana perkara ini ialah hak yang termaktub dalam sistem demokrasi yang kita amalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ker Chean sebaliknya menyeru agar anggota KEADILAN kekal tenang dan rasional menghadapi perkembangan terbaharu ini kerana setiap individu mempunyai hak memilih haluan politik masing-masing.
Bagaimanapun, kata beliau, sejarah politik negara membuktikan bukan mudah untuk membina sebuah gerakan politik yang mampu bertahan lama serta memperoleh mandat mentadbir negeri dan negara.
"Dalam tempoh lebih tiga dekad, hanya Parti Keadilan Rakyat yang berjaya menempuh perjalanan panjang itu. Daripada gerakan rakyat di jalanan yang bermula 27 tahun dahulu, menjadi pembangkang yang ditekan, dipenjara dan difitnah, sehingga akhirnya berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim," katanya.
Menurut beliau, pengalaman melalui episod Langkah Sheraton digerakkan oleh seorang lagi bekas Timbalan Presiden pada 2020 turut mematangkan KEADILAN dalam mengenali pemimpin sejati serta cabaran menterjemahkan agenda Reformasi dalam pentadbiran negara.
Episod perpecahan kali kedua, sewaktu KEADILAN menjadi kerajaan yang mentadbir negara, katanya, merupakan proses penyingkiran dan ujian kepada sikap setia dan taat dalam perjuangan yang penuh dengan ujian. Seperti ungkapan dalam novel The Heaven Sword and Dragon Saber oleh JinYong, “Biar mereka kuat bagai badai, bagaikan angin sepoi melintasi pergunungan; biar mereka ganas bagai ombak, bagaikan bulan purnama menyinari sungai yang luas.”
"Begitulah perjuangan yang perlu kita hadapi, tidak rebah oleh amukan lawan, tidak hanyut oleh gelora semasa," ujarnya.
Ker Chean turut mengingatkan bahawa banyak parti baharu yang pernah muncul dengan semangat besar akhirnya gagal menjadi kekuatan politik utama negara.
"Parti Pejuang Tanah Air, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia hari ini sekadar tinggal sebagai catatan kaki dalam nota sejarah politik negara."
Tambah beliau, membina parti politik memerlukan akar perjuangan yang kuat, disiplin organisasi dan kemampuan untuk terus bersama denyut nadi rakyat dalam tempoh panjang.
"Kepada akar umbi KEADILAN di seluruh negara, jangan mudah goyah dengan gelora semasa. Parti ini lahir daripada penderitaan rakyat, dibina atas semangat Reformasi dan dipertahankan oleh ribuan anggota biasa yang setia ketika parti tidak memiliki kuasa," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa KEADILAN akan terus komited membela rakyat, memperjuangkan keadilan sosial, memerangi rasuah dan membina negara yang lebih bermaruah, biarpun banyak pemimpin tinggi parti telah meninggalkan perjuangan dan hilang ditelan arus politik.
"Pemimpin datang dan pergi. Reformasi tak mati, yang mati adalah jiwa yang tidak cukup kental dan rapuh.
"Politik bukan tentang siapa paling lantang ketika marah. Politik adalah tentang siapa yang mampu bertahan, membina dan memikul amanah rakyat ketika berdepan cabaran sebenar," katanya lagi.
Tegas Ker Chean, KEADILAN sudah melalui saat yang paling gelap dalam sejarahnya mekar dan 'lagi ditekan lagi melawan'.




Comments