MADANI Mart: Lebih 200 permohonan buka cawangan diterima
- Helmi Mohd Foad

- 4 hours ago
- 2 min read

Inisiatif MADANI Mart terus mendapat sambutan positif apabila Yayasan MADANI menerima lebih 200 permohonan daripada usahawan di seluruh negara untuk membuka cawangan kedai komuniti berkonsepkan “Harga Rahmah” itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata lebih 20 pengusaha telah melepasi peringkat saringan awal dan kini sedang melalui proses pembangunan secara berperingkat.
Menurut beliau, perkembangan itu menunjukkan sambutan memberangsangkan terhadap model perniagaan MADANI Mart yang dilihat mampu membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.
"Sambutan terhadap inisiatif ini amat memberangsangkan apabila kita telah menerima lebih 200 permohonan daripada pelbagai pihak di seluruh negara melalui platform dalam talian dan secara fizikal," katanya selepas menyempurnakan pelancaran rasmi MADANI Mart Cawangan Jalan Dato’ Wong Ah Jang, Kuantan hari ini.
Selepas majlis itu, Fuziah turut berkongsi pengalamannya meninjau sendiri operasi MADANI Mart yang menurutnya sedikit sebanyak membantu memudahkan urusan harian rakyat.

"Bila turun ke MADANI Mart, saya melihat sendiri bagaimana inisiatif seperti ini sedikit sebanyak membantu memudahkan urusan harian rakyat, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Beliau berkata, outlet Jalan Dato’ Wong Ah Jang di DUN Teruntum itu merupakan cawangan kedua MADANI Mart yang kini terus menerima sambutan positif daripada masyarakat setempat.
"Apa yang menarik, inisiatif ini bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga lebih rahmah, tetapi turut membuka ruang kepada pengusaha tempatan untuk berkembang bersama ekosistem komuniti yang lebih mampan," katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang.
MADANI Mart DUN Teruntum itu merupakan outlet kedua selepas cawangan pertama di Indera Mahkota yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu.
Fuziah yang juga Pengerusi Yayasan MADANI berkata pembukaan outlet kedua itu mencerminkan perkembangan positif inisiatif berkenaan yang dibangunkan melalui model kerjasama strategik melibatkan kerajaan, sektor swasta dan elemen sosial menerusi Yayasan MADANI.
Menurut beliau, dua lagi outlet MADANI Mart dijangka dibuka pada Jun ini di kawasan Inderapura dan Kuala Lumpur, sekali gus menandakan permulaan peluasan jaringan MADANI Mart ke kawasan Lembah Klang.
"Inisiatif ini turut melengkapi pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) KPDN yang terbukti membantu rakyat mendapatkan akses kepada barangan asas pada harga lebih rendah," ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata Yayasan MADANI kini sedang memperincikan model baharu yang lebih fleksibel dikenali sebagai MADANI Mart Express susulan maklum balas positif dan minat tinggi daripada pengusaha kedai runcit sedia ada.
"Model ini bertujuan membuka ruang kepada lebih ramai pengusaha kecil tempatan serta kedai runcit komuniti untuk menyertai ekosistem MADANI Mart.
"Melalui pendekatan yang lebih praktikal dan inklusif ini, MADANI Mart Express turut mengutamakan aspek piawaian, pematuhan operasi serta penawaran harga rahmah kepada rakyat," katanya.
Beliau turut memaklumkan pihaknya telah mengadakan rundingan dengan beberapa institusi kewangan bagi membuka peluang pembiayaan kepada usahawan yang berminat membuka outlet MADANI Mart.
"Ada bank menyatakan kesediaan mereka dengan mengemukakan cadangan kertas kerja untuk dipertimbangkan," katanya lagi.




Comments