MCMC perkenal kod baharu lindungi kanak-kanak dalam talian mulai 1 Jun
- Helmi Mohd Foad

- 6 hours ago
- 2 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dalam usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan pengguna rentan di ruang digital.
MCMC dalam kenyataan berkata, kedua-dua kod itu akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 dengan tempoh pelaksanaan munasabah diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi memastikan proses pematuhan dapat diselesaikan secara teratur.
Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) diterbitkan selepas sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan termasuk rundingan awam yang berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
"Kedua-dua kod tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan negara terhadap keselamatan dalam talian, khususnya bagi memastikan pengalaman digital lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
"Pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan pengalaman digital yang lebih selamat bagi kanak-kanak dan keluarga," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, MCMC berkata kod berkenaan menetapkan jangkaan jelas kepada pemberi perkhidmatan supaya memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam platform masing-masing, terutama melibatkan perlindungan kanak-kanak dan pengguna rentan.
Menurut MCMC, Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) memberi fokus kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur pengguna kanak-kanak melalui penerapan prinsip “safety by design” dalam pembangunan perkhidmatan digital.
Antara langkah utama di bawah CPC ialah perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun, selain mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan mereka kepada risiko eksploitasi dan kandungan memudaratkan, kata MCMC.
Sementara itu, Kod Pengurangan Risiko (RMC) pula mewajibkan penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan berbahaya dalam talian.
Ia termasuk keperluan penilaian risiko, tadbir urus kandungan lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan, selain langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasikan.
"Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks," kata MCMC lagi.




Comments