Reformasi tidak boleh berhenti selepas jadi kerajaan — Dr Suhaimi
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Reformasi tidak boleh terhenti selepas KEADILAN menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, malah tanggungjawab yang dipikul menjadi lebih besar dalam memastikan negara ditadbir dengan baik, kata Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu merupakan antara amanat jelas Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka, semalam.
"Amanat Presiden jelas, Reformasi tidak boleh berhenti apabila kita sudah menjadi kerajaan, malahan tanggungjawab menjadi lebih besar," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut Suhaimi, antara tanggungjawab utama kerajaan ialah memastikan rasuah terus diperangi secara konsisten, selain menjaga wang serta amanah rakyat.
"Negara mesti diurus dengan baik. Rasuah mesti dilawan, konsisten. Wang dan amanah rakyat mesti dijaga. Sesiapa yang ‘menyakau’ duit rakyat, mesti dilawan, dan dihentikan tak kira siapa dan apa kedudukannya," katanya.
MA63 dilaksanakan sepenuh hati
Mengulas pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Suhaimi berkata, angka yang dibentangkan pada kongres menunjukkan kerajaan bukan sekadar memberikan janji, sebaliknya telah mengambil tindakan dalam menyelesaikan perkara berkaitan.

Ujarnya, daripada 29 perkara yang dirundingkan, 13 telah dimuktamadkan manakala sembilan lagi sudah diselesaikan.
Beliau turut menarik perhatian kepada peningkatan pemberian khas kepada Sabah yang meningkat daripada RM26.7 juta bagi tempoh 1973 hingga 2021 kepada RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta pada 2023, RM600 juta pada 2025 serta RM1.5 bilion pada 2026.
"Maknanya, jumlah pada 2026 hampir 12 kali ganda berbanding 2022 dan lebih 56 kali ganda berbanding kadar lama," katanya.
Bagi Sarawak pula, beliau berkata jumlah pemberian meningkat daripada RM16 juta kepada RM300 juta pada 2023 dan RM600 juta pada 2025, manakala jumlah bagi 2026 masih dalam rundingan.
Suhaimi menegaskan MA63 tidak seharusnya dilihat sebagai pemberian ihsan kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak.
"MA63 bukan ihsan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak. Ia adalah janji ketika Malaysia dibentuk. Sebab itu, setiap perkara yang telah dipersetujui mesti dilaksanakan dan kemajuannya perlu diterangkan secara terbuka kepada rakyat,” katanya.
Sokong pemansuhan AUKU
Dalam perkembangan sama, Suhaimi menyambut baik pengumuman pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), yang akan memberikan ruang lebih luas kepada mahasiswa.
"Mahasiswa bukan budak sekolah yang perlu dikawal dalam setiap perkara. Mereka ialah golongan muda yang sedang belajar menjadi pemimpin dan pemikir. Berilah mereka ruang untuk bersuara, bertanya, berbahas dan berbeza pandangan," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kebebasan mahasiswa perlu disertai tanggungjawab dan tidak bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja.
"Kebebasan bukan bermaksud boleh melakukan apa sahaja. Ia mesti datang bersama tanggungjawab. Namun, kampus juga tidak boleh menjadi sunyi hanya kerana mahasiswa takut untuk bersuara," katanya.
Bagi konteks Pahang pula, Suhaimi berkata perbelanjaan Persekutuan di negeri itu meningkat daripada RM7.5 bilion pada 2022 kepada RM10.6 bilion pada 2026.
"Ini merupakan tambahan RM3.1 bilion atau peningkatan 41 peratus," katanya.
Beliau turut menegaskan peningkatan peruntukan bukan hanya dinikmati negeri yang ditadbir kerajaan, sebaliknya peruntukan kepada semua negeri turut meningkat termasuk negeri yang ditadbir pembangkang.
"Kerajaan Persekutuan mesti berlaku adil kepada semua rakyat dan tidak menghukum mana-mana negeri kerana perbezaan politik," katanya.
Suhaimi bagaimanapun mengakui pelbagai pencapaian tersebut tidak bermakna semua masalah negara telah selesai.
Menurutnya, tekanan kos sara hidup masih perlu ditangani, beberapa perkara berkaitan MA63 masih dalam rundingan dan agenda reformasi juga perlu dipercepatkan.
Katanya, kejayaan agenda Reformasi akhirnya perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap kehidupan rakyat dan cara negara ditadbir.




Comments