Reformasi subsidi diesel pastikan golongan sasar mendapat manfaat optimum
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 2 min read

Pendekatan reformasi subsidi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya membolehkan penjimatan digunakan semula untuk memperkukuh perlindungan sosial, meningkatkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta memastikan bantuan dinikmati oleh mereka yang benar-benar layak.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata keputusan kerajaan menetapkan harga diesel bersubsidi pada RM2.10 seliter berkuat kuasa mulai Julai ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pengurusan subsidi dibuat secara lebih bersasar dan berkesan.
Ahli Parlimen Segamat itu berkata, pelaksanaan harga baharu berkenaan akan dibuat secara seragam di seluruh negara menerusi penggunaan MyKad bagi memastikan subsidi bahan api benar-benar diterima rakyat Malaysia yang layak.

"Reformasi subsidi bukan bertujuan membebankan rakyat sebaliknya membolehkan penjimatan kerajaan digunakan semula untuk memperkukuh perlindungan sosial, meningkatkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta memastikan subsidi dinikmati oleh mereka yang benar-benar layak," katanya dalam kenyataan di media sosial.
Yuneswaran berkata keputusan itu dibuat ketika dunia masih berdepan cabaran ekonomi global termasuk ketidaktentuan ekonomi, konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan yang memberi tekanan terhadap harga tenaga.
Menurutnya keupayaan kerajaan melaksanakan langkah berkenaan didorong oleh hasil reformasi fiskal, pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, peningkatan keyakinan pelabur serta pengurusan kewangan negara yang lebih berhemat.
Yuneswaran berkata, kerajaan turut mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter sekali gus menunjukkan kerajaan memberikan keutamaan berterusan terhadap kestabilan kos sara hidup rakyat.
"Langkah ini melengkapkan pelbagai inisiatif bersasar seperti BUDI MADANI yang memastikan subsidi bahan api disalurkan secara lebih adil, mengurangkan ketirisan dan mengelakkan penyalahgunaan subsidi oleh pihak yang tidak layak," katanya.
Beliau berkata reformasi subsidi memberi peluang kepada kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan negara dan menyalurkan semula sumber tersebut kepada program kebajikan, perlindungan sosial serta bantuan kepada rakyat yang memerlukan.
Katanya, pendekatan Kerajaan MADANI itu mencerminkan usaha melaksanakan reformasi secara bertanggungjawab sambil memastikan hasil pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai seluruh rakyat.
Semalam, Kementerian Kewangan dalam kenyataannya memaklumkan kerajaan menetapkan harga diesel bersubsidi pada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 sebagai sebahagian daripada usaha meneruskan pelaksanaan subsidi bersasar.
Menurut kementerian itu, mekanisme berkenaan akan memastikan manfaat subsidi disalurkan kepada kumpulan yang sepatutnya, selain mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan.




Comments