top of page

Reformasi institusi digiatkan, DAP sebaiknya bertindak secara kolektif

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Parti-parti komponen dalam Kerajaan MADANI diseru agar terus memperkukuh sokongan terhadap agenda reformasi negara demi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan dasar dapat dipertahankan.


Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, beliau mengambil maklum pengumuman Parti Tindakan Demokratik (DAP) berhubung penganjuran kongres khas pada 12 Julai ini bagi membincangkan kedudukan pemimpin parti itu dalam Kerajaan Persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Menurutnya, setiap parti politik mempunyai hak demokrasi untuk mengurus dan membincangkan hal ehwal dalaman masing-masing tetapi perlulah dalam kerangka bertindak yang tidak bertentangan dengan semangat Kerajaan Perpaduan.


"Namun demikian, dalam konteks tadbir urus negara, keutamaan mesti kekal berpaksikan tanggungjawab kolektif, kestabilan politik dan kesinambungan dasar," kata Dr Zaliha dalam muat naik di media sosial.


Beliau menegaskan bahawa ketika ini kerajaan sedang dan akan terus memberi keutamaan kepada beberapa Rang Undang-Undang (RUU) strategik serta inisiatif reformasi perundangan yang memerlukan sokongan majoriti kukuh dan koordinasi berdisiplin dalam kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan MADANI.


Katanya, reformasi institusi, pengukuhan tata kelola dan pembaharuan struktur pentadbiran bukanlah agenda jangka pendek, sebaliknya merupakan proses berperingkat yang menuntut kesatuan dan keteguhan politik.


Ahli Parlimen Sekijang itu turut menyifatkan komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri untuk mempercepatkan pembentangan serta kelulusan RUU Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri sebagai manifestasi jelas kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan reformasi secara berinstitusi.


"Ini membuktikan bahawa agenda perubahan sedang diterjemahkan melalui saluran Perlembagaan dan proses Parlimen yang sah, bukan sekadar naratif politik," katanya.


Menurut beliau lagi, agenda reformasi yang sedang berjalan adalah hasil rundingan, kesepakatan dan penjajaran antara parti-parti komponen serta institusi negara.


Justeru, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketidaktentuan politik berpotensi menjejaskan momentum reformasi serta keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kestabilan negara.


"Sehubungan itu, saya menyeru semua rakan komponen dalam Kerajaan MADANI agar terus memperkukuh komitmen bersama, mengekalkan disiplin dan memastikan mandat rakyat dapat dilaksanakan sepenuhnya.


"Keutamaan kita mesti jelas dan konsisten untuk terus memperkukuhkan institusi Parlimen, melaksanakan reformasi secara bertanggungjawab serta memelihara kestabilan politik demi kemaslahatan rakyat dan masa depan negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page