Karnival Persisir Sungai Perak 2026 berjaya tingkatkan ekonomi anak tempatan
- Redzuan Shamsudin

- 6 hours ago
- 2 min read

Mini Karnival Kesejahteraan dan Keusahawanan – Eko Pelancongan (MIKEP) Pesisir Sungai Perak 2026 yang berlangsung di Kompleks Inap Desa KHAAF, Kampung Guar, Manong, melakar satu lagi detik bermakna dalam usaha memperkasa komuniti setempat melalui pendekatan kesejahteraan, keusahawanan dan eko-pelancongan.
Program yang dikendalikan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Kangsar itu menghimpunkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, usahawan tempatan serta komuniti pesisir Sungai Perak.
Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub, yang menegaskan bahawa masa depan keusahawanan eko-pelancongan di luar bandar adalah cerah sekiranya digerakkan secara kreatif dan inklusif.
"Pembangunan ekonomi di kawasan pesisir perlu dilaksanakan secara lebih berstruktur dan berdaya tahan agar manfaatnya dapat dinikmati dalam jangka masa panjang.
"Penglibatan anak tempatan pula merupakan katalis utama kepada kejayaan sesuatu inisiatif, kerana mereka lebih memahami potensi dan keunikan kawasan sendiri," katanya.

Justeru, kata Mustaffa, pelaksanaan projek dan aktiviti yang memberi kesan nyata kepada masyarakat setempat perlu diberi keutamaan agar kesejahteraan dapat dirasai secara langsung.
Menurut beliau, usaha memperkasa eko-pelancongan dan keusahawanan merupakan strategi penting untuk mengekalkan penduduk, khususnya golongan muda, agar terus menetap dan membina masa depan di kampung halaman.
"Konsep pembangunan yang dipacu oleh komuniti dan dipermudahcara oleh kerajaan ditekankan sebagai kunci kejayaan kepada kelestarian program seumpama ini.
"Dalam menghadapi cabaran masa depan termasuk peluang pekerjaan yang semakin terhad akibat perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), peluang ekonomi di luar bandar yang diperkasakan melalui keusahawanan dan eko-pelancongan serta menjadikan penguasaan AI sebagai alat memacu ke hadapan amat berpotensi," katanya.
MIKEP 2026 turut diserikan dengan Slot Dialog Usahawan MADANI yang menjadi platform perkongsian pengalaman, idea dan jaringan kerjasama antara usahawan serta agensi berkaitan, sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai potensi perniagaan baharu dan cabaran dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan setempat.
Program tersebut berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung, melebihi sasaran awal penganjuran, dengan penyertaan pempamer agensi dan produk, jualan Rahmah, pertandingan serta pelbagai aktiviti komuniti.

Mustaffa memuji kejayaan MIKEP 2026 hasil komitmen dan kerja berpasukan semua pihak yang terlibat.
"Kejayaan MIKEP 2026 adalah hasil daripada komitmen, kerja berpasukan dan keikhlasan sumbangan semua pihak yang terlibat," katanya lagi.
Rata-rata pihak yang terlibat menyifatkan MIKEP 2026 sebagai platform berpotensi besar dalam menggerakkan ekonomi komuniti, malah terdapat hasrat untuk meneruskan kesinambungan program melalui penganjuran MIKEP 2027 dan tahun-tahun seterusnya demi kesejahteraan masyarakat pesisir Sungai Perak.




Comments