Konflik Bersatu 'hilangkan' agenda Melayu, berpotensi kucar-kacirkan PN
- Suara Keadilan

- 9 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Slogan perjuangan politik Melayu yang selama ini dilaungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin tidak menentu apabila parti itu terus tenggelam dalam konflik dalaman dan perebutan jawatan berpanjangan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad menegaskan, sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan kepentingan Melayu sepatutnya terlebih dahulu menunjukkan kestabilan dalaman yang kukuh. Namun realiti dalaman Bersatu adalah sebaliknya berhadapan siri pemecatan, percaturan jawatan dan perpecahan terbuka.
"Kalau parti sendiri tidak stabil, macam mana dia (Bersatu) nak yakinkan orang Melayu bahawa dia mampu membela nasib rakyat?
"Politik perlukan kestabilan. Bersatu hari ini gagal memenuhi syarat paling asas itu. Sebab itu perjuangan Melayu yang mereka laungkan semakin hilang makna," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Menurut Faezuddin, pergolakan berterusan menyebabkan parti Melayu yang berumur kurang sedekad itu semakin tidak relevan sebagai wadah politik Melayu kerana kepimpinan parti lebih tertumpu kepada perebutan kuasa berbanding membawa isu dasar yang menyentuh kehidupan rakyat.

"Keadaan itu jelas apabila Bersatu gagal mengemukakan belanjawan alternatif atau kritikan dasar yang konsisten di Parlimen, sekaligus menunjukkan ketiadaan agenda substantif untuk orang Melayu.
"Mereka sibuk susun siapa jadi timbalan presiden, siapa hendak dipecat selepas ini. Tapi isu ekonomi Melayu, peluang pekerjaan, kos sara hidup, semua itu tidak jadi keutamaan. Itu sebab orang Melayu sendiri mula hilang keyakinan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Faezuddin berkata spekulasi bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa mungkin menubuhkan parti baharu dan bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) - sekiranya menjadi kenyataan - boleh menjadi faktor yang mencetuskan pergolakan baharu dalam gabungan pembangkang.
Beliau berkata pertukaran wadah atau tokoh tidak akan menyelesaikan masalah asas kerana konflik kepimpinan dalam Bersatu sendiri belum selesai dan hanya akan dipindahkan ke dalam PN.
"Kalau parti baharu ditubuhkan sekali pun, persoalan siapa calon Perdana Menteri tetap jadi perebutan. Konflik lama tidak hilang, cuma berpindah pentas. Akhirnya PN akan lebih berpecah daripada hari ini," katanya.
Faezuddin turut berkata keadaan itu juga meletakkan parti Pas dalam dilema sama ada ingin terus bersama Bersatu yang semakin ditolak rakyat atau mengambil laluan sendiri demi kelangsungan politiknya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan persaingan kepimpinan antara kem Hamzah dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, akan terus menjadi punca ketidakstabilan jika gabungan pembangkang cuba menukar tokoh utama.
Faezuddin mengingatkan konflik berpanjangan itu berisiko menjadikan Bersatu senasib parti serpihan Semangat 46 yang akhirnya tenggelam selepas hilang relevansi.
"Jika keadaan ini berterusan, Bersatu akan mengecil dan ditinggalkan.
"Slogan perjuangan Melayu yang mereka bawa juga akan lumpuh dengan sendirinya kerana rakyat menilai kestabilan dan keupayaan mentadbir, bukan retorik," ujarnya lanjut.




Comments