RCI TH: Tolak parti tabur fitnah jadi kerajaan N Sembilan - Mahfuz
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyeru rakyat, khususnya pengundi Negeri Sembilan supaya menolak politik berasaskan fitnah dan persepsi serta menjadikan fakta sebagai panduan dalam membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Beliau berkata, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) yang didedahkan baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran besar mengenai kepentingan menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan bukti.
"Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Tabung Haji memberikan satu pengajaran yang amat besar kepada seluruh rakyat Malaysia. Laporan tersebut secara tidak langsung memperakui kepincangan urus tadbir Tabung Haji di bawah kerajaan Umno BN," katanya dalam kenyataan.
Menurut Mahfuz, laporan berkenaan bukan sekadar menyentuh aspek tadbir urus TH, tetapi turut menunjukkan bahaya apabila sesuatu isu dijadikan modal politik tanpa menunggu fakta sebenar.
Beliau berkata, ketika kerajaan Pakatan Harapan 1.0 melaksanakan penyusunan semula TH pada 2019 bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi itu, pelbagai tuduhan dilemparkan oleh pimpinan Pas dan Umno, termasuk dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam oleh Menteri Kewangan dari DAP waktu itu, Lim Guan Eng.
"Antara yang paling kerap dimainkan ialah dakwaan bahawa aset Tabung Haji kononnya dijual kepada pihak bukan Islam. Tuduhan itu disebarkan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit dan masyarakat Islam," ujarnya.
Mahfuz berkata, rakyat kini berhak menilai semula dakwaan tersebut berdasarkan fakta yang terkandung dalam laporan RCI, sambil menggesa semua pihak bersedia mengubah pendirian sekiranya fakta baharu membuktikan sebaliknya.
Beliau berkata, laporan RCI membuktikan Tabung Haji menjadi mangsa fitnah politik oleh pemimpin pembangkang pada waktu itu, selain mempersoalkan kesan yang timbul akibat penyebaran dakwaan tanpa asas kukuh.
"Laporan RCI Tabung Haji membuktikan Tabung Haji menjadi mangsa fitnah Pas dan Umno (pada 2019)," katanya.
Menurut mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu, politik yang mengutamakan persepsi berbanding kebenaran boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi penting negara.
Sebagaimana peribahasa Melayu "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," Mahfuz berkata fitnah yang disebarkan dalam politik boleh membawa kesan besar kepada masyarakat.
Beliau turut menggunakan perumpamaan bahawa fitnah ibarat menabur paku di jalan kerana kesannya akhirnya boleh menimpa semua pihak, termasuk mereka yang tidak terlibat.
"Orang kampung tahu kalau kita menabur paku di atas jalan, bukan kita sahaja yang boleh terkena. Anak sendiri pun boleh terpijak. Fitnah juga begitu. Apabila ia dijadikan budaya politik, akhirnya seluruh masyarakat yang terluka," ujarnya.
Justeru, menjelang hari pengundian PRN Negeri Sembilan, Mahfuz mengingatkan pengundi supaya tidak menyerahkan pertimbangan mereka kepada mana-mana ahli politik.
"Jangan pajakkan akal kepada sesiapa. Sawah boleh dipajak. Kebun boleh dipajak. Rumah boleh disewa. Tetapi jangan sekali-kali memajak akal fikiran kepada ahli politik."
Beliau berkata, rakyat perlu menggunakan pertimbangan sendiri dalam membezakan antara fakta dan fitnah serta tidak membuat keputusan berdasarkan ketakutan yang sengaja ditanam.
Mahfuz berkata PRN Negeri Sembilan seharusnya menjadi medan untuk rakyat menentukan arah masa depan negeri.
"PRN Negeri Sembilan bukan medan untuk rakyat memilih siapa yang paling pandai menakut-nakutkan orang. PRN Negeri Sembilan ialah medan untuk rakyat memilih arah negeri ini.
"Jangan lagi biarkan politik fitnah menguasai pemikiran rakyat. Jangan lagi benarkan ketakutan menjadi kompas kepada keputusan kita. Biarlah fakta menjadi panduan, amanah menjadi pegangan dan harapan menjadi arah.
"Kerana akhirnya, kertas undi bukan sekadar memilih seorang calon. Kertas undi adalah suara rakyat untuk menentukan jenis politik yang ingin diwariskan kepada anak-anak kita," katanya lagi.
