RCI TH: 'MP pembangkang datang parlimen cari jawapan, belum jawab, lari keluar'
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Ahli Parlimen Pas dan Wawasan diingatkan supaya tidak melupakan tanggungjawab terhadap rakyat dengan rasa tidak bersalah meninggalkan prosiding khas Parlimen berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji semalam.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) mengingatkan bahawa setiap penggunaan kemudahan dan perbelanjaan rasmi melibatkan Ahli Parlimen perlu disertai tanggungjawab untuk mewakili suara rakyat.
"Kehadiran bukan sekadar tekan butang. Jari boleh direkodkan hadir. Tetapi amanah tidak boleh dibuktikan dengan butang," katanya dalam kenyataan.
Menurut mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu, rakyat tidak menghantar Ahli Parlimen ke Kuala Lumpur sekadar menjadi penonton, sebaliknya untuk membawa suara dan kepentingan mereka dalam persidangan Parlimen.
"Kalau suara itu memilih untuk keluar ketika amanah sedang dibincangkan, siapa sebenarnya yang mereka wakili?" soalnya.
Mahfuz menyamakan tindakan berkenaan dengan pemain bola sepak yang memasuki padang tetapi meninggalkan gelanggang sebaik sahaja permainan bermula.
"Macam pemain bola masuk padang, pakai jersi, ambil nombor, tetapi bila wisel ditiup dia keluar padang. Kemudian mendakwa dia sudah bermain," katanya.
Beliau berkata, jika Ahli Parlimen memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam ruang yang disediakan bagi meneliti dan membincangkan isu Tabung Haji, rakyat berhak mempersoalkan sumbangan mereka selepas segala kemudahan berkaitan kehadiran ke Parlimen ditanggung menggunakan wang awam.
Sehubungan itu, Mahfuz menyeru semua Ahli Parlimen Pas dan Wawasan supaya memberikan penjelasan terbuka mengenai sumbangan mereka dalam sesi khas Parlimen berkaitan laporan RCI Tabung Haji.
"Saya menyeru semua MP Pas dan Wawasan supaya menjelaskan secara terbuka kepada rakyat: Apakah sebenarnya sumbangan mereka kepada sesi khas sidang Parlimen berkaitan laporan RCI Tabung Haji?" tanyanya.
Menurut beliau, alasan untuk menangguhkan sidang sehingga Perdana Menteri pulih daripada keuzuran, tidak wajar digunakan untuk meninggalkan prosiding kerana persidangan masih boleh diteruskan tanpa kehadiran Perdana Menteri.
Mahfuz berkata, pendeposit Tabung Haji berhak mendapatkan penjelasan rasmi melalui Parlimen mengenai kedudukan institusi berkenaan, termasuk tindakan yang telah diambil kerajaan.
"Sepatutnya kamu tahu sidang tak boleh ditangguh demi untuk melindungi kepentingan pendeposit. Pendeposit perlu diyakinkan dengan pemberitahuan rasmi melalui Parlimen apa berlaku pada Tabung Haji dan pendeposit perlu mengetahui yang tuduhan dan fitnah kamu lemparkan sebelum ini terhadap Tabung Haji.
"Pendeposit perlu diberitahu apa langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan," katanya.
Beliau turut mempersoalkan alasan bahawa sesi berkenaan hanya melibatkan penerangan Menteri dan tidak mempunyai sebarang keputusan di penghujungnya, sedangkan perkara tersebut telah dimaklumkan dalam notis Parlimen kepada semua Ahli Parlimen.
"Kalau kamu tak mahu ambil bahagian seharusnya dari awal kamu tak hadir ke Parlimen menghabiskan wang rakyat. Bayaran penerbangan, penginapan, elaun mesyuarat dan elaun makan kamu ditanggung oleh rakyat," katanya.
Mahfuz berkata tindakan meninggalkan dewan selepas hadir ke Kuala Lumpur untuk persidangan tersebut merupakan pembaziran peruntukan awam dan meminta wakil rakyat berkenaan menjelaskan tanggungjawab mereka kepada rakyat.
"Jangan biarkan rakyat menanggung kos untuk wakil rakyat yang memilih untuk tidak menjalankan tugas yang tersedia di hadapan mereka. Atau memang rakyat nak sedekah pada Ahli Parlimen Pas dan Wawasan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tersebut juga dilihat bercanggah dengan pendirian lantang mereka mengenai Tabung Haji di luar Dewan.
"Datang meminta jawapan, tetapi keluar ketika jawapan hendak diberikan," sinis Mahfuz lagi.




Comments