top of page

RCI TH: Jangan malukan Nabi Muhammad dengan mengkhianati akhlak Nabi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 30 minutes ago
  • 2 min read

Sambutan Maulidur Rasul perlu dijadikan ruang untuk umat Islam bermuhasabah mengenai sejauh mana akhlak dan ajaran Nabi Muhammad SAW diterapkan dalam kehidupan, masyarakat serta politik, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar).


Beliau berkata Maulidur Rasul bukan sekadar majlis berselawat atau memperingati sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW, sebaliknya perlu menjadi medan untuk menilai akhlak umat Islam.


Menurut Mahfuz, Nabi Muhammad SAW membawa rahmah namun malangnya, kata beliau perkembangan politik hari ini kadangkala dibina atas ketakutan, kebencian dan perpecahan.


"Orang Melayu ditakutkan dengan orang bukan Melayu. Orang Islam ditakutkan dengan orang bukan Islam. Orang yang berbeza pandangan politik dilabel seolah-olah tidak membela agama.


"Sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita menyatukan manusia, bukan memecahkan manusia," katanya.


Beliau mengingatkan supaya agama tidak digunakan untuk mewujudkan permusuhan dalam masyarakat.


"Jangan kita gunakan agama untuk membina tembok antara manusia, sedangkan Nabi datang untuk membina jambatan," katanya.


Mahfuz turut menggesa agar ulama tidak dijadikan alat atau senjata politik, termasuk apabila gelaran ulama hanya dihormati ketika pandangan mereka selari dengan kepentingan politik tertentu.


Menurutnya, seseorang tidak seharusnya hanya dianggap ulama apabila menyokong sesuatu pihak.


"Kalau seseorang hanya dianggap ulama apabila dia menyokong kita, itu bukan memuliakan ulama. Itu sedang mempolitikkan ulama," ujarnya.


Jangan putar belit isu RCI


Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, ilmu dan kebenaran tidak seharusnya dipengaruhi kepentingan politik terutama ketika berdepan isu berkaitan amanah umat seperti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.


"Ilmu tidak memakai baju parti. Kebenaran tidak mempunyai logo parti. RCI Tabung Haji amanah umat jangan dipolitikkan," katanya.


Beliau berkata persoalan utama dalam isu tersebut bukan mengenai pihak mana yang membongkar sesuatu perkara, sebaliknya kebenaran yang perlu dicari serta pihak yang bertanggungjawab.


"Jangan bertanya, ‘Siapa yang bongkar? Orang kita atau orang lawan?’


"‘Apa yang berlaku? Apa kebenarannya? Siapa yang perlu bertanggungjawab? Dan bagaimana amanah umat hendak dipulihkan?’" katanya.


Mahfuz menegaskan Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik dan sebarang pengkhianatan amanah perlu dipertanggungjawabkan.


"Jangan kerana mahu mempertahankan orang kita, kita akhirnya mempertahankan perkara yang salah.


"Itulah akhlak yang sepatutnya kita belajar daripada Rasulullah SAW," katanya.


Dalam pada itu, Mahfuz berkata amalan rasuah juga perlu ditolak tanpa mengira bangsa atau parti.


"Rasuah tidak ada bangsa. Rasuah tidak ada parti. Yang haram tetap haram.


"Pemberi rasuah salah. Penerima rasuah salah. Orang tengah yang mengatur rasuah juga salah. Jangan perkara dosa ditimbang berdasarkan warna parti," katanya.


Beliau turut mengingatkan supaya Islam tidak dijadikan alat untuk memenangkan sesebuah parti, sebaliknya menjadi panduan kepada mereka yang memegang kuasa supaya tidak menyalahgunakan amanah.


Mahfuz berkata perkara paling memalukan umat Islam bukan apabila Islam dikritik pihak lain, sebaliknya apabila mereka yang mengaku memperjuangkan Islam sendiri mengabaikan akhlak yang diajarkan Rasulullah SAW.


Beliau menyeru umat Islam supaya menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai dorongan untuk memperkukuh sifat amanah, rahmah dan keberanian membetulkan kesalahan diri.


"Marilah kita menjadi umat Muhammad yang bukan sahaja kuat berselawat, tetapi kuat memegang amanah; bukan sahaja pandai bercakap tentang Islam, tetapi hidup dengan rahmah; bukan sahaja pandai mencari kesalahan orang lain, tetapi berani membetulkan kesalahan diri sendiri," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page