top of page

RCI TH ditubuhkan oleh kerajaan PN, tetapi Pas tolak hasil penemuan?

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
11 hours ago
2 min read

Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 telah mengambil langkah menyelamatkan institusi itu daripada krisis kewangan, bukannya menjual atau melemahkan aset TH seperti yang didakwa sebelum ini, kata Azli Yusof (gambar).


Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah keadaan kewangan TH sebelum langkah pemulihan dilaksanakan, termasuk persoalan bagaimana sebuah institusi yang berada dalam keadaan defisit masih mampu meneruskan pembayaran dividen yang melanggar Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).


"Bagaimana sebuah institusi yang berada dalam keadaan defisit tapi boleh terus membayar dividen? Satu lagi TH terpaksa menanggung subsidi yang berterusan dalam keadaan kos menunaikan haji itu terus meningkat dari tahun ke tahun.


"Tapi dalam masa yang sama TH mengalami pelbagai kerugian, sama ada melalui pelaburan atau anak-anak syarikat yang ditubuhkan.


"Tapi pada 2018 itu, keadaannya semakin lama semakin parah. Jadi kerajaan ketika itu terpaksa mengambil alih beberapa syarikat atau instrumen pelaburan yang mengalami kerugian ini dan diletakkan dalam satu syarikat SPV yang dimiliki kerajaan," katanya dalam satu siaran video.


Azli berkata, sebelum ini terdapat persepsi bahawa RCI diwujudkan untuk menyiasat tindakan kerajaan PH yang didakwa menjual aset TH kepada pihak tertentu.


Bagaimanapun ujarnya, laporan RCI yang dibentangkan pada 11 Ogos lalu mendedahkan perkara sebaliknya apabila mendapati tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyelamatkan kedudukan kewangan TH.


"Akhirnya bila RCI dibentangkan pada 11 Ogos lalu hasilnya sangat mengejutkan ramai. Jadi bukan itu isu yang utamanya.


"Mungkin yang pada asalnya menjadi matlamat untuk nak mengenakan kerajaan PH, (tetapi) RCI mendapati kerajaan PH yang selamatkan TH," katanya.


Mengenai penolakan Pas terhadap laporan RCI, Azli menempelak parti berkenaan kerana sewaktu RCI itu ditubuhkan pada 2021 Menteri Agama adalah pemimpin Pas yang sepatutnya lebih mengetahui terma rujukan dan ahli panel yang dilantik.


"Yang menariknya pada ketika itu Perikatan Nasional (PN) yang Pas berada dalamnya (kerajaan) yang memulakan RCI ini. Menteri Agama ketika itu daripada Pas iaitu Datuk Idris Ahmad dan Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.


"Tapi akhirnya (apabila) sampai ke peringkat untuk berbahas (di Dewan Rakyat), mereka ini keluar dan tidak terlibat. Itu sangat pelik dan ajaib dan sangat mengecewakan," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page