top of page

Razman jangan bahas salah fakta, kerajaan Perak lebih cekap urus hasil

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat (gambar) menegaskan bahawa kecekapan pengurusan hasil kerajaan negeri Perak membuktikan Kerajaan Perpaduan lebih berkesan dalam usaha memberikan manfaat langsung kepada rakyat.


Menurut Arafat, kenyataan Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria (ADUN Gunong Semanggol) dalam Sidang DUN Perak Khamis lalu yang pada awalnya menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perak berjumlah RM8.9 bilion sebelum membetulkannya kepada RM82 bilion menimbulkan persoalan terhadap ketepatan hujah yang dibentangkan Ketua Pembangkang DUN Perak itu.


Semakan lanjut menunjukkan angka sebenar KDNK negeri Perak bagi tahun 2024 adalah sekitar RM86.2 bilion sepertimana diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada September 2025.


Justeru itu kata Arafat, perbahasan mengenai prestasi ekonomi negeri perlu berasaskan data tepat dan perbandingan yang konsisten, bukannya kenyataan yang berubah-ubah sehingga menimbulkan kekeliruan.


"Di Perak, kita berjaya mengutip hasil lebih tinggi selain merekodkan lebihan (surplus) kira-kira RM85 juta. Ini menunjukkan kecekapan dalam pengurusan kewangan negeri.


"Dalam konteks itu, Perak mampu memberikan sumbangan khas hari raya (Aidilfitri) sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam negeri, berbanding RM1,000 di Kedah yang menerima pelaburan yang lebih tinggi.


"Pelaburan dan kutipan hasil adalah perkara berbeza. Yang penting ialah bagaimana kerajaan mengurus hasil itu dan memberi manfaat kepada rakyat," kata Arafat kepada Suara Keadilan.


Perbahasan Khamis lalu di DUN Perak itu turut menyaksikan percanggahan apabila Razman mempersoalkan perbandingan antara negeri dengan menggunakan pendekatan ibarat “membandingkan epal dengan durian”.


"Lihat dahulu prestasi negeri yang mereka (Perikatan Nasional) tadbir sekarang. Jangan hanya bercakap soal pelaburan, tetapi abaikan aspek kebajikan rakyat," ujar Arafat.


Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan isu imuniti Ahli Dewan Undangan Negeri yang sering disalah tafsir dalam perbahasan sehingga boleh mengungkapkan fakta mengelirukan.


Katanya, imuniti hanya melindungi ahli dewan daripada tindakan undang-undang terhadap ucapan dalam dewan, namun tidak bermaksud mereka bebas daripada dipersoalkan.


"Dalam Dewan, kita ada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta peraturan mesyuarat. Jika ada kenyataan yang tidak tepat, ahli dewan boleh diminta memberi penjelasan atau bukti," katanya.


Razman yang “direhatkan” daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak sebelum ini kalah beberapa kes saman fitnah dan memohon maaf, antaranya melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.


Sehubungan itu, Arafat menyeru jentera komunikasi Kerajaan Perpaduan supaya lebih proaktif dalam menyampaikan fakta yang tepat serta menangkis sebarang tuduhan tidak berasas serta memperkukuh penguasaan naratif di media sosial.


"Kita tidak perlu membalas dengan fitnah. Cukup dengan mempertahankan fakta dan memberi penjelasan kepada rakyat tentang apa yang telah dilaksanakan kerajaan.


"Sebagai kerajaan, kita pasti menjadi sasaran. Fitnah dan maklumat salah akan tertumpu kepada kita untuk merosakkan imej. Sebab itu kita perlu lebih aktif dan tersusun dalam memberi penerangan," katanya.


Tegas beliau, pendekatan berasaskan fakta dan data adalah penting bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai prestasi kerajaan negeri serta menilai keupayaan pihak yang menawarkan diri untuk mentadbir.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page