top of page

Kisah Dicky jadi inspirasi nilai kemanusiaan tanpa mengira kaum – Dr Zulkifli

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Dicky (kanan) dan Abang Minyak Hitam Jalanan - kisah kemanusiaan yang menyentuh hati
Dicky (kanan) dan Abang Minyak Hitam Jalanan - kisah kemanusiaan yang menyentuh hati

Sebuah kisah ringkas melibatkan seorang pemuda Cina dikenali sebagai Dicky menjadi simbol nilai kemanusiaan dan keprihatinan tanpa mengira latar belakang, kata Menteri di Jabatan di Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.


Menurut beliau, Dicky yang bekerja di sebuah restoran halal di ibu negara merupakan seorang bapa tunggal berasal dari Tawau, Sabah, yang gigih mencari rezeki seperti masyarakat lain.


"Ini Dicky, pemuda Cina yang dibantu abang Minyak Hitam Jalanan (seorang Melayu). Kerja di restoran halal, cari rezeki macam kita semua," katanya dalam muat naik di media sosial.

Dicky dalam rakaman tular cuba membayar upah
Dicky dalam rakaman tular cuba membayar upah

Beliau berkata, selepas memperoleh sedikit rezeki melalui siaran langsung di TikTok, Dicky bertindak mencari semula individu yang pernah membantunya, bukan sekadar untuk membalas jasa, tetapi bagi membantu orang lain pula.


"Bila dah ada sikit rezeki, beliau cari balik abang itu bukan untuk balas jasa semata-mata, tapi nak bagi orang lain pula rasa dibantu," ujarnya.


Tambah beliau, tindakan Dicky yang menunjukkan rasa hormat dengan bersalaman dan mencium tangan menggambarkan akhlak tinggi yang wajar dicontohi.


"Momen beliau salam siap cium tangan – itu bukan sekadar adab, itu akhlak. Tinggi nilainya," katanya.


Mengulas lanjut, Dr Zulkifli menegaskan bahawa kesusahan tidak mengenal bangsa dan ramai yang memerlukan bantuan, walaupun tidak semua kelihatan.


"Hakikatnya, susah itu tak kenal bangsa. Ramai yang memerlukan bantuan, cuma kita tak nampak. Tapi bila ada yang hulur pertolongan tanpa berkira, di situlah indahnya kemanusiaan," katanya.


Beliau turut menyifatkan bantuan yang dihulurkan oleh individu dikenali sebagai “abang Minyak Hitam Jalanan” kepada Dicky itu sebagai satu bentuk dakwah melalui perbuatan.


"Apa yang dilakukan bukan sekadar membantu baiki motor, tetapi itulah dakwah – dakwah dengan akhlak dan ihsan. Islam itu bukan hanya kata-kata, tetapi cara kita menyantuni manusia," ujarnya.


Menurutnya, kisah tersebut mencerminkan wajah Malaysia yang diimpikan, iaitu masyarakat bertamadun yang saling membantu tanpa mengira perbezaan.


"Inilah Malaysia yang kita nak – masyarakat bertamadun yang saling bantu membantu tanpa kira siapa. Semoga kebaikan kecil ini menjadi asbab kepada rahmat yang lebih besar," katanya.


Baru baru ini, Dicky yang dalam perjalanan mengalami kerosakan motorsikal apabila rantai putus dan sprocket patah.


Beliau dibantu oleh Abang Minyak Hitam Jalanan membaiki motorsikal itu namun apabila mahu membayar upah, Dicky kekurangan wang dan perlu meminjam kepada kawan kawannya.


Dalam rakaman video tular, Abang Minyak Hitam kemudiannya menghalalkan pertolongannya kepada Dicky pada malam berkenaan kerana khuatir pemuda tersebut tidak mempunyai wang untuk urusan seharian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page