top of page

BN-PN: Melayu hanya terancam waktu pilihanraya?

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
2 minutes ago
2 min read

Kesepakatan politik yang kembali terjalin antara Umno dan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuka ruang persoalan tentang sejauh mana penyatuan yang dilaungkan kali ini benar-benar berteraskan prinsip perjuangan atau sekadar percaturan politik untuk meraih kuasa.


Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Melaka, Ezal Zamri berkata perkembangan itu mengingatkan kembali kepada episod Muafakat Nasional (MN) kedua-dua parti itu berganding bahu atas nama penyatuan ummah, namun kerjasama tersebut akhirnya menemui noktah apabila kepentingan politik kedua-dua parti mula bercanggah.


"Rakyat disajikan dengan naratif perpaduan, kepentingan orang Melayu dan perjuangan bersama. Namun apabila kepentingan politik mula bertembung, kerjasama yang dahulunya begitu dibanggakan akhirnya menemui noktah.


"Kini dalam PRN Melaka kedua-duanya mengumumkan kerjasama semula, seolah-olah hubungan yang pernah retak kini sudah ‘dirujuk’.

Ezal Zamri
Ezal Zamri

"Persoalannya, adakah ini benar-benar penyatuan berteraskan dasar perjuangan atau sekadar percaturan politik pilihanraya?" tanya beliau menerusi satu kenyataan.


Lebih menarik kata Ezal, naratif kononnya kedudukan dan masa depan orang Melayu sedang terancam kembali bergema setiap kali pilihanraya menghampiri seolah-olah nasib orang Melayu hanya menjadi keresahan apabila tiba masanya untuk meraih undi rakyat.


"Namun selepas pilihanraya berakhir ke mana hilangnya keresahan itu? Adakah orang Melayu hanya terancam sepanjang tempoh berkempen, kemudian kembali selamat sebaik sahaja peti undi ditutup?


"Jika benar nasib dan masa depan orang Melayu menjadi keutamaan perjuangan itu seharusnya berterusan dan konsisten. Bukan sekadar muncul bermusim, apatah lagi berubah mengikut percaturan politik dan kalendar pilihanraya.


"Kita juga perlu ingat bahawa kepentingan rakyat bukan sekadar modal untuk meraih sokongan. Dalam penggal Parlimen ke-14, negara pernah menyaksikan tiga orang Perdana Menteri silih berganti, termasuk ketika Umno dan Pas menjadi sebahagian daripada gabungan yang mendukung pentadbiran negara," katanya.


Menurut beliau, penyatuan bukan sekadar soal siapa kembali duduk semeja, bersalaman atau mengumumkan hubungan politik sudah kembali pulih.


Sebaliknya perkara lebih utama ujarnya ialah tentang agenda yang mahu diperjuangkan bersama, pendekatan dalam menangani permasalahan rakyat serta sejauh mana komitmen tersebut mampu dipertahankan apabila kepentingan politik mula bertembung.


"Akhirnya, rakyat berhak menilai dan membuat pertimbangan sendiri. Jika dahulu dikenali sebagai MN, kini mungkin muncul dengan wajah Penyatuan Ummah 2.0.


"Nama boleh berubah, pendekatan boleh diperbaharui dan hubungan politik boleh dijalin semula namun rekod dan sejarah tidak seharusnya dipadam daripada ingatan.


"Ini kerana penyatuan yang sebenar bukan sekadar diuji ketika mahu meraih kuasa, tetapi ketika berdepan perbezaan dan kepentingan politik.


"Saya juga tidak menafikan bahawa kerjasama politik mampu membawa manfaat sekiranya dibina atas prinsip, keikhlasan dan matlamat yang jelas," ujarnya lagi

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page