top of page

AMK gesa Umno dedah penyumbang dana RM50 juta bayar denda Najib

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
30 minutes ago
1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Umno mendedahkan segera butiran kutipan dana RM50 juta yang dikumpulkan bagi membayar denda bekas Perdana Menteri Najib Razak.


Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata, pendedahan itu perlu dibuat secara terbuka tanpa menunggu arahan atau permintaan daripada pihak berkuasa bagi memastikan ketelusan pengurusan dana berkenaan.


Katanya, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah menyatakan bahawa dana RM50 juta itu dikumpulkan menerusi pendanaan awam.


"Jangan sekadar berkata sedia dedah. Dedahkan segera siapa penyumbang utama, berapa sumbangan mereka dan bentangkan penyata kutipan serta pembayaran," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Danish Hairudin
Danish Hairudin

Menurut Danish, langkah itu penting bagi menangkis dakwaan atau tohmahan bahawa dana berkenaan mungkin datang daripada tokoh korporat atau pihak berkepentingan yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib.


Beliau berkata, pendedahan perlu disertakan rekod yang boleh diperiksa supaya tiada mana-mana pihak dikaitkan dengan sumbangan berkenaan tanpa bukti.


Dalam pada itu, AMK turut mempersoalkan kemungkinan sumbangan berkenaan mempunyai tuntutan balas atau kepentingan tertentu sekiranya Umno terus berada dalam Kerajaan Persekutuan.


Danish menegaskan penyumbang tidak sepatutnya mengharapkan balasan dalam bentuk projek, kontrak atau layanan istimewa daripada kerajaan atas alasan pernah memberikan sumbangan.


"Rakyat juga mahukan jaminan bahawa sumbangan ini tidak datang dengan tuntutan balas sekiranya Umno terus menerajui Kerajaan Persekutuan.


"Jangan sampai penyumbang mengharapkan projek, kontrak atau layanan istimewa atas alasan pernah membantu. Di situlah mula timbul konflik kepentingan dan ruang salah guna kuasa," ujarnya.


Beliau menegaskan bahawa sumbangan kepada individu tidak boleh menjadi alasan untuk mendapatkan keistimewaan atau pengaruh dalam pentadbiran kerajaan.


"Budi kepada individu jangan dibayar dengan kuasa kerajaan. Apabila kutipan dibuat secara terbuka, pertanggungjawabannya juga mesti terbuka," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page