Faiq Azman tekad bangunkan Pantai Siring kawasan pelancongan baharu


Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Muhammad Faiq Azman berazam untuk memanfaatkan potensi penuh Pantai Siring sebagai kawasan tarikan pelancongan baharu.
Beliau berkata, kawasan berkenaan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai destinasi tumpuan ramai memandangkan lokasinya telahpun diwartakan bagi tujuan tersebut.
"Sekiranya saya diberi mandat pada PRN Melaka kali ini, usaha itu akan kita cuba bawa dan realisasikan sebaik mungkin, sekali gus membawa pembangunan yang lebih baik kepada penduduk," katanya.
Selain memacu sektor pelancongan tempatan, Muhammad Faiq turut menggariskan lima teras utama dalam manifesto beliau untuk kesejahteraan pengundi DUN Serkam.
Antara fokus yang diketengahkan termasuklah pembangunan usahawan muda, pemerkasaan e-sukan, serta program pendidikan dan kemahiran khusus untuk anak-anak asnaf.
Selain itu beliau turut berikrar untuk memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi ibu tunggal serta kebajikan pekebun kecil dan nelayan, termasuk membantu golongan terbabit mendapatkan akses bantuan, peralatan, serta peluang untuk meningkatkan hasil dan pendapatan.
"Setiap perancangan yang dibawa perlu mengambil kira keperluan masyarakat setempat, selain memastikan kekurangan sedia ada dapat ditangani
"Sekiranya diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat, di mana ada kekurangan, saya pasti akan cuba penuhi kekurangan itu. Di mana ada kepincangan, saya cuba perbetulkan kepincangan itu," jelasnya.
DUN Serkam menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Muhammad Faiq menentang Datuk Azman Abdullah daripada Barisan Nasional (BN) dan Muhammad Saffie Md Yasan daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama)
BN memenangi kerusi itu pada PRN Melaka ke-15 dengan majoriti hanya 79 undi.




Comments