top of page

Jangan terpengaruh fitnah ke atas PH Sarawak di media sosial - Abun

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
13 minutes ago
2 min read
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit

Rakyat Sarawak diingatkan supaya lebih bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan permainan fitnah serta hasutan pihak tidak bertanggungjawab yang semakin rancak menggunakan profil palsu untuk mencetuskan persepsi negatif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.


Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata, sejak kebelakangan ini terdapat pelbagai kenyataan yang menyerang Pakatan Harapan (PH) dan pemimpin-pemimpinnya di Sarawak, termasuk kenyataan yang disebarkan melalui akaun media sosial menggunakan nama samaran atau profil palsu.


Katanya, mereka berselindung di sebalik profil palsu, seolah-olah mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab terhadap tuduhan yang disebarkan.


"Jika benar dakwaan mereka mempunyai asas dan bukti yang kukuh, mengapa perlu berselindung? Mengapa tidak tampil secara terbuka dan bertanggungjawab atas kenyataan sendiri?


"Walau bagaimanapun, penggunaan nama samaran semata-mata tidak bermakna sesuatu kenyataan itu palsu. Apa yang penting ialah kesahihan maklumat, bukti dan sumbernya," katanya menerusi satu kenyataan.


Sebagai contoh kata Abun, terdapat dakwaan seperti 'Kalau PH berkuasa di Sarawak, mereka akan memansuhkan kuasa imigresen Sarawak'.


Beliau menegaskan, PH tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian, apatah lagi menjadikannya sebagai manifesto pilihanraya.


"Dakwaan seperti itu tidak sepatutnya diterima sebagai fakta tanpa sebarang bukti atau sumber rasmi yang boleh disahkan.


"Kuasa imigresen Sarawak merupakan perkara penting yang berkaitan dengan kedudukan dan hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.


"Oleh itu, isu sebesar ini tidak wajar diputarbelitkan untuk menimbulkan kebimbangan atau salah faham dalam kalangan rakyat," ujarnya.


Justeru, Abun menyeru rakyat Sarawak agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan yang sengaja membangkitkan kemarahan, ketakutan atau kebencian terhadap mana-mana pihak.


Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang mengingatkan rakya di Bumi Kenyalang itu supaya menyemak terlebih dahulu sumber maklumat.


"Pastikan kenyataan tersebut benar-benar dikeluarkan oleh pihak yang dinamakan. Jika tiada bukti, jangan membantu menyebarkannya.


"Kita boleh berbeza pandangan politik. Kita boleh menyokong parti yang berlainan. Kita juga boleh mengkritik mana-mana pemimpin atau dasar kerajaan.


"Namun, perbezaan politik tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah, mereka-reka kenyataan atau mengelirukan rakyat," tegas beliau lagi

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page