Usah pertikai harga minyak Semenanjung, Sabah, Sarawak - Roland Engan
- Akmal Manaf

- 3 hours ago
- 2 min read

Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar) menyeru rakyat Sabah dan Sarawak agar bertenang dan memaafkan kenyataan kontroversi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Kedah yang dilihat menyinggung perasaan mereka berkaitan harga diesel di kedua-dua wilayah itu.
Beliau berkata, kenyataan ADUN berkenaan tidak mencerminkan pendirian majoriti kepimpinan di Semenanjung, malah difahamkan telah diperjelaskan semula dengan menyalahkan pentadbiran terdahulu berhubung isu kemunduran di Sabah dan Sarawak.
"Saya dengar dia sudah tukar sikit kenyataan. Cuma sekarang ini dia salahkan rejim atau kerajaan terdahulu yang menyebabkan kemunduran di Sabah dan Sarawak.
"Lepas itu, dia cakap dia bukan anti Sabah dan Sarawak, dia salahkan kerajaan terdahulu. Tak apa lah, itu cara dia tarik balik atau menukar kenyataan.
"Dia berhak dan bebas berhujah dalam DUN dia, tapi benda ini sudah viral, jadi dia menyinggung sedikit perasaan orang Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu siaran video.
Roland berkata, rakyat di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai banyak pilihan dalam berdepan situasi tersebut, justeru mereka wajar mengambil pendekatan bertenang dan memaafkan kerana kenyataan itu mungkin dibuat tanpa pemahaman mendalam.
"Saya percaya majoriti rakyat dan pemimpin negeri di Semenanjung lebih memahami keadaan sebenar di Sabah dan Sarawak.
"Apa pun kenyatan dia, ia bukannya kenyataan yang mewakili majoriti rakyat atau majoriti barisan kepimpinan yang ada di Semenanjung," ujarnya lagi.
Untuk rekod, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, manakala di Semenanjung meningkat di paras RM6.72 seliter.
Subsidi petrol RON95 pula kekal pada kadar RM1.99 seliter, manakala harga tanpa subsidi naik RM0.40 kepada RM4.27 seliter.
RON97 turut meningkat RM0.40 kepada RM5.35 seliter bagi tempoh sehingga 22 April ini.
Terdahulu, seorang warga maya berpendapat, langkah kerajaan mengekalkan harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak tidak wajar dipolemikkan memandangkan penggunaan bahan api itu terutama di kawasan pedalaman bukan pilihan, tetapi merupakan satu keperluan.
Kongsinya, jika harga diesel di Sabah dan Sarawak naik mendadak, antara kesan paling besar adalah kenaikan harga barang terutama bahan mentah seperti ayam dan telur yang dijangka naik berkali ganda.




Comments