Rasuah dalam ATM: Budaya kebal, tidak ditegur, bukan hanya kelemahan institusi
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Isu rasuah dan salah guna kuasa dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh menjadi ancaman serius kepada keselamatan negara.
Namun perkara itu, menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Mahfuz Omar bukanlah punca sebenar masalah kerana merupakan budaya kebal yang telah berakar lama, bukan kelemahan institusi semata-mata.
Beliau berkata, walaupun menyokong pendirian Menteri Pertahanan bahawa rasuah dalam ATM mesti ditangani dengan tegas, negara juga perlu berani mengakui hakikat sebenar di sebalik krisis integriti tersebut.
“Saya menyokong pendirian Menteri Pertahanan bahawa rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM merupakan ancaman keselamatan negara.
"Namun, masalah sebenar bukan kekurangan undang-undang, tetapi budaya kuasa yang terlalu lama tidak dicabar,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mahfuz menegaskan bahawa kritikan terhadap institusi bukan bermaksud melemahkannya, sebaliknya memperkukuh integriti dan ketelusan.
"ATM tidak rosak kerana dikritik. ATM rosak jika terlalu lama tidak dibenarkan ditegur," ujarnya.
Menurut beliau, tindakan menghukum individu yang bersalah adalah langkah perlu, namun ia tidak mencukupi tanpa pembaharuan menyeluruh terhadap budaya dan sistem dalaman.
"Tanpa reformasi budaya, krisis integriti akan berulang dengan wajah berbeza," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan termasuk menjadikan doktrin keberanian moral sebagai prinsip rasmi ATM, penubuhan Ombudsman Tentera yang bebas di bawah Parlimen, perlindungan penuh kepada pemberi maklumat serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan pemusatan kuasa, bukan sekadar memantau perolehan.
Mahfuz menegaskan bahawa mempertahankan ATM tidak bermakna menutup sebarang salah laku.
"Membela ATM bukan bermakna menutup salah. Membela ATM ialah memastikan ia kekal bersih, dihormati dan berdaulat," katanya lagi.









Comments