top of page

70,000 nyawa terbunuh di Gaza, berdiam diri bermakna terlibat - MAPIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melahirkan rasa cemas dan sedih susulan pengakuan Israel bahawa lebih 70,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza sepanjang kempen ketenteraan rejim itu bermula Oktober 2023.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan angka tersebut bukan hanya sekadar statistik, sebaliknya menggambarkan kemusnahan besar terhadap rakyat awam yang berlaku di hadapan mata dunia.


"Ini bukan statistik. Ini adalah pemusnahan sistematik seluruh rakyat yang dilakukan di hadapan mata dunia," katanya dalam satu kenyataan bertajuk ‘Tujuh Puluh Ribu Nyawa: Apabila Pembunuhan Beramai-ramai Diakui, Diam Menjadi Keterlibatan’.


Menurut beliau, pengakuan mengenai skala korban itu mengesahkan laporan sejak berbulan-bulan oleh organisasi kemanusiaan dan pemerhati bebas bahawa situasi di Gaza telah melangkaui batas peperangan biasa.


"Gaza bukanlah medan perang, ia adalah tanah perkuburan. Pembunuhan berpuluh-puluh ribu orang awam, yang majoritinya wanita dan kanak-kanak, merupakan jenayah besar yang bersejarah. Tiada naratif ketenteraan boleh membenarkan tahap kemusnahan ini," tegasnya.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

Mohd Azmi berkata, detik tersebut menandakan satu titik perubahan moral kepada masyarakat antarabangsa apabila Israel yang disokong kuasa besar dunia membantai umat Islam Palestin yang tidak dibenarkan mendapat senjata setanding untuk melawan.


"Apabila sesebuah negara mengakui pembunuhan beramai-ramai, masyarakat antarabangsa tidak lagi menghadapi dakwaan, ia sedang berhadapan dengan kekejaman yang didokumenkan. Dari sudut ini ke hadapan, diam bukanlah berkecuali, ia adalah keterlibatan," ujarnya.


Beliau mempersoalkan sama ada undang-undang antarabangsa akan dikuatkuasakan secara adil dan tanpa pilih kasih atau sekadar kekal sebagai prinsip di atas kertas.


Menurut MAPIM, kegagalan mengambil tindakan tegas selama ini telah mewujudkan budaya kebal daripada hukuman.


"Apa yang kita saksikan bukan kejadian terpencil. Ia adalah hasil kuasa yang tidak dikawal, ideologi ketenteraan dan dehumanisasi sistematik terhadap rakyat Palestin," jelasnya.


Sehubungan itu, MAPIM menggesa tindakan segera termasuk perlindungan antarabangsa di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), akauntabiliti melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), penamatan sokongan ketenteraan dan kewangan, sekatan serta embargo senjata, dan siasatan antarabangsa bebas perlu dilakukan dengan akses penuh ke Gaza.


"Darah Gaza adalah noda pada hati nurani dunia. Ini bukan konflik antara dua pihak. Ia adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Dunia mesti memilih: keadilan atau keterlibatan. Tiada jalan ketiga," tegasnya.


Selain itu, MAPIM turut mengeru agar ditamatkan semua sokongan ketenteraan, kewangan dan politik ke atas Israel. Juga sekatan menyeluruh dan embargo senjata terhadap negara Yahudi itu sehingga mereka mematuhi undang-undang antarabangsa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page