top of page

Tiada had umur maksimum pemandu e-hailing – Maxim Malaysia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 37 minutes ago
  • 2 min read
Peluang untuk membina kerjaya bersama Maxim Malaysia terbuka tanpa mengira had usia
Peluang untuk membina kerjaya bersama Maxim Malaysia terbuka tanpa mengira had usia

Tiada had umur maksimum untuk menjadi pemandu e-hailing di negara ini, selagi individu terbabit memenuhi semua keperluan pelesenan dan piawaian keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.


Menurut kenyataan syarikat Maxim Malaysia, isu kelayakan umur masih menjadi perbincangan dalam kalangan pemandu dan penumpang, namun sektor e-hailing kekal terbuka kepada semua peringkat umur tanpa sekatan had atas usia.


Kata syarikat itu, berdasarkan data Maxim Malaysia bagi tahun 2026, pemandu berusia lebih 55 tahun mewakili 14 peratus daripada keseluruhan populasi pemandu mereka, mencerminkan keterangkuman industri tersebut. Antara wilayah yang merekodkan bilangan tertinggi rakan kongsi pemandu berpengalaman ialah Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Sandakan dan Kuantan.


Tambah kenyataan itu, untuk mendaftar sebagai pemandu e-hailing dengan Maxim, individu mesti berumur sekurang-kurangnya 21 tahun serta memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah, insurans, Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP).


Selain itu, pemeriksaan kesihatan asas di klinik berdaftar adalah wajib sebagai sebahagian daripada prosedur pelesenan PSV. Ketetapan ini dikuatkuasakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2017 dengan seliaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Ketua Pematuhan Undang-undang dan Perhubungan Kerajaan Maxim Malaysia, Mushfique Ahmed Chowdhury berkata, peluang pendapatan tidak seharusnya ditentukan oleh faktor umur sebaliknya keupayaan untuk melaksanakan perkhidmatan.


"Maxim Malaysia berpandangan bahawa peluang pendapatan harus dibentuk oleh komitmen dan pematuhan, bukan umur," katanya.


Beliau berkata, sama ada seseorang itu memulakan kerjaya baharu atau mencari pendapatan tambahan, pemilikan lesen yang sah, pematuhan kriteria kesihatan serta komitmen untuk berkhidmat adalah syarat utama untuk menjadi rakan kongsi pemandu.


"Kami menyediakan pilihan pendapatan yang fleksibel untuk semua individu yang layak.


"Sama ada memulakan laluan kerjaya baharu atau mencari pendapatan tambahan selepas bersara, memiliki lesen yang betul, memenuhi kriteria kesihatan, dan mempunyai keinginan yang ikhlas untuk berkhidmat adalah yang membolehkan anda bermula sebagai pemandu rakan kongsi Maxim.


"Kami menawarkan waktu kerja yang fleksibel, menyokong kebebasan gaya hidup dan stabil pendapatan mengikut jadual anda sendiri," ujarnya.


Untuk rekod, Maxim Malaysia telah dilancarkan di pada tahun 2019. Sejak itu, syarikat telah membangunkan teknologi inovatif untuk pengguna memesan pengangkutan, penghantaran dan perkhidmatan lain, menjadikannya lebih moden, mudah diakses dan selamat.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page