top of page

Rakyat Sarawak mahu pembangunan seimbang bandar - luar bandar - AMK Mas Gading

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 9
  • 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Mas Gading menggesa Kerajaan Sarawak memperkukuh komitmen dalam memastikan pembangunan yang lebih seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Timbalan Ketua Penerangan AMK Mas Gading, Anas Darwish berkata, meskipun Sarawak mencatat pelbagai kemajuan ekonomi, jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar masih ketara.


"Walaupun Sarawak mencatat pelbagai kemajuan dari segi ekonomi dan pembangunan, masih terdapat jurang yang ketara dalam aspek pendidikan, infrastruktur asas, capaian internet, kemudahan kesihatan serta peluang pekerjaan di kawasan luar bandar," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, setiap rakyat Sarawak berhak menikmati kemudahan asas dan peluang yang sama tanpa mengira lokasi tempat tinggal.

Anas Darwish
Anas Darwish

"Setiap rakyat Sarawak, tanpa mengira lokasi tempat tinggal, berhak menikmati akses kepada pendidikan yang berkualiti, jalan raya yang selamat, bekalan air dan elektrik yang stabil serta kemudahan digital yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda," ujarnya.


Beliau menegaskan bahawa pembangunan tidak seharusnya tertumpu hanya di bandar utama semata-mata.


"Pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu di bandar-bandar utama. Kemajuan sebenar hanya dapat dicapai apabila masyarakat luar bandar turut menikmati manfaat pembangunan secara adil dan menyeluruh," katanya.


Sehubungan itu, AMK Mas Gading menggesa kerajaan negeri menjadikan agenda penyamarataan pembangunan sebagai keutamaan menjelang PRN Sarawak.


"Masa depan Sarawak yang lebih maju dan inklusif hanya dapat dibina apabila tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan," tegas beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page