Rakyat Malaysia nikmati perayauan data, kadar berpatutan di Timor-Leste
- Suara Keadilan

- Oct 26
- 1 min read

Rakyat Malaysia yang berada di Timor-Leste kini boleh menikmati perkhidmatan perayauan data (data roaming) yang lebih lancar dan berpatutan, hasil usaha berterusan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam kenyataan hari ini, kementerian memaklumkan bahawa berkuat kuasa 17 Oktober 2025, pengendali rangkaian mudah alih utama Malaysia (MNO) iaitu CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile telah berjaya mengaktifkan perkhidmatan perayauan data di Timor-Leste, manakala YTL Communications memulakan perkhidmatannya pada 24 Oktober 2025.
"Inisiatif ini bertujuan memastikan rakyat Malaysia yang berada di Timor-Leste dapat menikmati perayauan data yang lancar pada kadar berpatutan, sama seperti negara-negara anggota ASEAN yang lain," kata kenyataan itu.
Kementerian menjelaskan, perkhidmatan perayauan 4G di Timor-Leste merupakan satu pencapaian besar berbanding rangkaian infrastruktur 2G dan 3G sebelum ini, yang berjaya direalisasikan melalui kerjasama rapat MCMC dengan Autoridade Nacional de Comunicações (ANC) Timor-Leste.
"Perkembangan ini berjaya direalisasikan melalui kerjasama rapat MCMC dengan Autoridade Nacional de Comunicações (ANC) Timor-Leste, serta sokongan perkongsian perayauan strategik antara pengendali rangkaian mudah alih Malaysia dengan penyedia telekomunikasi utama Timor-Leste — Telkomsel, Telemor dan Timor Telecom," katanya.
MCMC menegaskan bahawa kejayaan tersebut juga selaras dengan keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, yang menumpukan kepada keterangkuman, kelestarian dan keterhubungan digital serantau.
"Keterangkuman, kelestarian dan keterhubungan digital mencerminkan komitmen bersama ASEAN dalam memupuk komuniti
berfokuskan rakyat di mana teknologi meningkatkan mobiliti, peluang dan perpaduan di seluruh rantau," kata kenyataan itu lagi.
Malaysia turut menyambut baik penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang disifatkan sebagai detik bersejarah dalam memperkukuh perpaduan dan visi bersama ke arah rantau yang lebih inklusif serta terhubung secara digital.









Comments