Rakyat AS perlu cegah perang baharu dengan Iran - MAPIM
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru kepimpinan Amerika Syarikat (AS) dan rakyat negara itu agar mengamalkan kebijaksanaan, menahan diri serta memikul tanggungjawab moral dalam mencegah sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Pengerusi MAPIM, Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, perkembangan mutakhir menunjukkan peningkatan ketegangan susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang secara terbuka menyatakan pertimbangan terhadap serangan ketenteraan terhad ketika rundingan mengenai program nuklear Iran masih berlangsung.
"Dunia kini berada di persimpangan yang berbahaya. Sebarang peningkatan (ancaman) ketenteraan terhadap Iran tidak akan kekal sebagai konflik terhad, sebaliknya berisiko mencetuskan perang serantau, mengganggu bekalan tenaga global dan menarik pelbagai kuasa besar ke dalam konfrontasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, walaupun terdapat isyarat diplomatik daripada Iran bahawa cadangan sedang disediakan dan rundingan mungkin bergerak ke hadapan dalam tempoh terdekat, penempatan aset ketenteraan yang signifikan di rantau berkenaan telah meningkatkan kebimbangan terhadap krisis lebih besar.
Azmi menegaskan bahawa perang tidak seharusnya menjadi instrumen dasar utama selagi laluan diplomasi masih terbuka.
"Rumah Putih mesti mengutamakan diplomasi berbanding paksaan. Kongres pula perlu menegaskan peranan perlembagaannya, manakala masyarakat sivil harus menyuarakan pendirian," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sistem politik AS dibina atas prinsip semak dan imbang perlembagaan, yang mana kuasa mengisytiharkan perang terletak pada Kongres, bukan pentadbiran semata-mata.
Tambah beliau, rakyat Amerika perlu menyedari bahawa satu lagi peperangan di Asia Barat akan membawa kos kemanusiaan dan ekonomi yang besar, termasuk implikasi terhadap keluarga, anggota tentera dan pembayar cukai negara itu.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa pentadbiran AS menghentikan sebarang pertimbangan terhadap serangan ketenteraan dan meneruskan rundingan dengan niat yang tulus, di samping menyeru Kongres meningkatkan pengawasan perlembagaan bagi menghalang keputusan perang secara unilateral.
"Rakyat Amerika Syarikat mempunyai autoriti moral untuk mempengaruhi hala tuju negara mereka. Pada saat genting ini, suara tersebut amat diperlukan untuk mencegah peningkatan konflik dan memelihara kestabilan global.
"Dunia tidak memerlukan satu lagi peperangan. Dunia memerlukan kepimpinan yang berteraskan kebijaksanaan, kesederhanaan dan kemanusiaan," tegasnya.




Comments