Krisis dalaman Bersatu dedah perebutan kuasa, tiada agenda rakyat
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Pergolakan berterusan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini jelas berpunca daripada krisis kepimpinan dan kegagalan mengurus perbezaan dalaman secara matang.
Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Fakharuddin Moslim berkata, siri pemecatan dan peletakan jawatan dalam parti itu memberi isyarat bahawa pembangkang lebih tertumpu kepada perebutan kuasa dalaman berbanding memperjuangkan agenda rakyat termasuk kepentingan orang Melayu yang sering dilaungkan.
"Politik Melayu tidak boleh disempitkan kepada retorik dan slogan semata-mata. Ia mesti diterjemahkan melalui dasar ekonomi, pendidikan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.
"Ini perkara yang gagal ditawarkan secara konsisten oleh Bersatu dan Perikatan Nasional sejak beberapa tahun kebelakangan ini," kata Fakharuddin kepada Suara Keadilan.

Beliau berkata, orang Melayu kini semakin matang dan menilai keupayaan mentadbir, kestabilan serta hasil sebenar, bukan lagi sentimen semata-mata.
Justeru katanya, KEADILAN percaya masa depan orang Melayu lebih terjamin melalui politik reformasi serta tadbir urus baik.
Dalam pada itu Fakharuddin berkata ketiadaan kepimpinan yang jelas dan konsensus bersama menjadi punca pergolakan berterusan.
"Selagi tumpuan diberikan kepada siapa calon Perdana Menteri berbanding tawaran dasar kepada rakyat, selagi itulah konflik dalaman akan berulang.
"Penubuhan parti baharu atau pertukaran tokoh tidak menyelesaikan masalah asas pembangkang iaitu ketiadaan hala tuju bersama serta kebergantungan kepada politik personaliti.
"Rakyat Malaysia termasuk di Johor sudah letih dengan politik eksperimen dan perebutan kuasa. Mereka mahukan kerajaan stabil yang bekerja, bukan pembangkang yang sentiasa bergolak," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan KEADILAN bersama Kerajaan Perpaduan memilih untuk memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi, kos sara hidup dan kebajikan rakyat, bukannya bermain teka-teki kuasa.
"Politik negara tidak boleh terus disandarkan kepada konflik dalaman dan tokoh semata-mata. Yang penting ialah siapa mampu mentadbir dengan stabil dan berintegriti.
"Di Johor, KEADILAN akan terus fokus kepada kerja, bukan drama politik," katanya.









Comments