top of page

Kementerian Pertahanan komited siasat punca kematian Truper K Indiran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Kementerian Pertahanan menyatakan komitmen untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian seorang anggota tentera di Kem Batu 10 Kuantan, Pahang pada Khamis lalu.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi membolehkan siasatan terhadap punca kematian Truper K Indiran dimulakan segera.


"Saya difahamkan bedah siasat dibuat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Setakat ini, tiada unsur buli penderaan dan sebagainya yang boleh dikaitkan dengan kematian anggota tersebut," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini, pada Sabtu.


Dalam majlis itu, seramai 200 murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Pasir Gudang menerima sumbangan itu.


K Indiran, 22, sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja di kem tersebut.


Beliau dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri pada 18 Februari lalu, di kem terbabit dan dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut dan dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang Khamis.


Dalam perkembangan berkaitan, Ibu mendiang, S Usha, 52, menolak segala andaian yang mengaitkan kematian anaknya akibat dibuli atau penderaan hingga mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Sehubungan itu, pihak keluarga mendiang meminta orang ramai menghentikan spekulasi tentang kematian anak mereka.


Sebagai rekod, K Indiran merupakan anak kepada mendiang Leftenen Kolonel C. Kayamboo yang maut dalam insiden pesawat Beechcraft B200T terhempas di Pangkalan Udara Butterworth pada Disember 2016.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page