top of page

Isu air soal kebajikan rakyat, bukan politik - Pemuda HARAPAN Johor

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 36 minutes ago
  • 2 min read

Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor tampil menjawab maklum balas yang diberikan oleh Menteri Besar (MB) Johor berhubung isu gangguan bekalan air yang dibangkitkan sebelum ini, sambil menegaskan bahawa pendirian mereka adalah demi kepentingan rakyat.


Kenyataan itu merujuk penjelasan MB, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta beberapa pemimpin UMNO negeri berhubung gangguan bekalan air yang berlaku.


Menurut Pemuda HARAPAN Johor, mereka menghargai penjelasan yang diberikan dan menegaskan bahawa isu tersebut dibangkitkan atas kapasiti sebagai pengimbang serta suara rakyat dalam sistem demokrasi.


"Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Johor atas penjelasan yang diberikan. Kami membangkitkan isu gangguan bekalan air sebagai pengimbang dan suara rakyat.


"Dalam demokrasi yang matang, bertanya dan meneliti bukan satu kesalahan, malah sebahagian daripada tanggungjawab," kata kenyataan yang dikeluarkan semalam.


Pemuda HARAPAN Johor turut menjelaskan bahawa persoalan yang dibangkitkan mempunyai asas, khususnya berkaitan kemungkinan gangguan bekalan air di kawasan yang mempunyai industri pusat data pada masa hadapan.


"Kami maklum bahawa kawasan terlibat ketika ini tidak mempunyai (industri) pusat data. Namun persoalan lebih besar ialah sekiranya gangguan berlaku di kawasan yang mempunyai pusat data, apakah tindakan dan keutamaan kerajaan negeri? Apakah mekanisme perlindungan dan pelan kontingensi yang telah dirangka?" soalnya.


Dalam masa sama, mereka mempersoalkan sama ada kawasan yang tiada industri pusat data wajar dipinggirkan daripada keutamaan penyelesaian masalah air.


"Jika sesuatu kawasan itu tiada pusat data, adakah ia bermakna masalah air di situ tidak perlu diberi keutamaan? Rakyat di mana-mana kawasan berhak mendapat bekalan air yang stabil dan terjamin. Isu asas ini tidak wajar dipolitikkan atau dipandang sambil lewa," tegas kenyataan tersebut.


Pemuda HARAPAN Johor turut mengkritik tindakan sesetengah pihak yang melabelkan persoalan mereka sebagai “fitnah” serta menyerang balas secara politik.


Menurut mereka lagi, menghantar segerombolan pemimpin pemuda dan bahagian untuk menyerang balas secara politik bukanlah pendekatan yang matang.


"Apa yang rakyat mahukan ialah penyelesaian, bukan perbalahan. Kami menegaskan bahawa isu gangguan bekalan air adalah isu rakyat, bukan isu politik.


"Kami menegur mana yang perlu demi memastikan kebajikan rakyat Johor sentiasa menjadi keutamaan," kata kenyataan itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page