top of page

Puteri Perjuangan Asia Silih Berganti Mengisi Zaman



Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Di benua Asia, peranan anak perempuan untuk meneruskan legasi perjuangan ayah mereka sangat jelas dan signifikan. Masyarakat Asia dengan kebudayaan Timurnya masih tebal dengan sentimen feudalnya.


Kita bermula dari benua kecil India. Selepas kematian perdana menteri India yang pertama, Jawaharal Nehru, lalu muncul anak perempuannya yang karismatik bernama Indira Ghandi mengambil tempat sebagai perdana menteri.


Kemudian kita berpindah ke Paksitan. Dalam pergolakan politik yang sengit yang berakhir dengan Perdana Menteri Zulfikar Ali Butto dipenjara dan dihukum gantung sampai mati oleh rejim tentera, maka bangkit anak perempuannya, Benazir Bhutto, lulusan Universiti Oxford, England yang punya aura seperti bapanya terjun ke gelanggang politik yang berliku-liku sehingga berjaya menjadi Perdana Menteri wanita yang pertama di sebuah negara Islam. Begitu trajiknya kematian Bhutto si bapa, maka begitu juga Benazir tewas dibunuh dalam satu rapat umum.


Kemudian kita berpindah lagi di sebuah negara Islam di benua kecil India. Negara itu ialah Bangladesh yang sebelum itu dipanggil Pakistan Timur. Si bapa, Sheikh Mujibur Rahman, perdana menteri pertama Bangladesh yang merupakan tokoh pengasas Bangladesh merdeka sebagai sebuah negara berdaulat juga senasib dengan Zulfikar Ali Bhutto. Mujibur Rahman tewas terbunuh dalam rampasan kuasa tentera. Lalu muncul si anak perempuan yang bernama Sheikh Hassinah Begum mengepalai kebangkitan rakyat Bangladesh melawan rejim tentera. Bukan dengan senjata tetapi melalui proses demokrasi di peti undi dengan memenangi pilihanraya umum. Sampai sekarang Sheikh Hassinah Begum, anak perempuan Sheikh Mujibur Rahman masih berkuasa di Bangladesh.


Aung San Suu Kyi mencipta nama


Hebat wanita Asia ini. Bersebelahan Bangladesh ialah negara Myanmar yang dulu di bawah empayar British dipanggil Burma. Sejak zaman selepas merdeka dari British, Myanmar dikuasai oleh tentera yang pada awalnya dipimpin oleh seorang pengasas negara Myanmar bernama Jenderal Aung Sang.


Tetapi rekod buruk, diktator dan anti-demokrasi di kalangan rejim tentera Myanmar selepas Jenderal Aung Sang, yang silih berganti akhirnya ditentang oleh kebangkitan rakyat diketuai anak perempuan kepada Jenderal Aung Sang bernama Aung San Suu Kyi, seorang lagi graduan dari universiti Oxford di England.


Srikandi bernama Suu Kyi telah dinobatkan sebagai pemenang nobel keamanan dunia. Puteri kepada Jenderal Aung Sang ini hidupnya sentiasa dalam kancah perjuangan rakyat. Dipenjara di dalam tahanan rumah oleh pihak tentera Myanmar selama berbelas tahun. Namun begitu, pada akhirnya Suu Kyi berjaya diangkat oleh rakyat Myanmar sebagai pemimpin negara melalui satu pilihanraya umum. Tetapi kini Tentera Myanmar kembali berkuasa melalui rampasan kuasa berdarah di mana Suu Kyi diguling dan sekarang dibicara juga dipenjara.


Sama seperti Indira Ghandi, Benazir Bhutto, Sheikh Hassinah Begum dan Aung Sang Suu Kyi, semua empat orang srikandi Asia ini tidak mendapat kuasa melalui dulang perak atau emas seperti dalam tradisi feudal lama. Mereka terlibat dengan perjuangan rakyat dengan mempertaruhkan kebebasan diri dan nyawa sendiri.


Kemudian kita menghampiri ke wilayah yang paling dekat dengan tanah air kita, iaitu bumi Indonesia. Presiden pertama dan bapa revolusi serta kemerdekaan Indonesia bernama Sukarno mengasaskan Republik Indonesia pada tahun 1945 telah digulingkan oleh tentera pada tahun 1965. Selepas peristiwa itu, selama 30 tahun regim tentera berkuasa di Indonesia di bawah pimpinan Order Baru diktator General Suharto.


Sukarno meninggalkan ramai zuriat anak lelaki dan perempuan. Antara yang terkenal, anak lelakinya bernama Guntur dan anak perempuannya bernama Megawati Sukarnoputeri.


Pergolakan politik berlaku di Indonesia, khususnya di Pulau Jawa dengan Jakarta menjadi epicenternya pada penghunjung tahun 1990an. Diktator Suharto tumbang pada tahun 1998 dalam satu kebangkitan rakyat dipanggil gerakan reformasi. Lalu muncul srikandi Indonesia bernama Megawati Sukarnoputeri ke tengah medan perjuangan memimpin sebuah parti politik yang diasaskan oleh almarhum bapanya PDI-Perjuangan.


Megawati memenangi pilihanraya dan parti PDI-P yang bersimbolkan kepala seladang dengan tanduknya yang garang dipanggil Banteng itu, akhirnya berjaya diangkat sebagai Presiden Indonesia yang keempat dan juga presiden wanita pertama republik Indonesia, sebuah negara maritim luas dengan lebih seribu buah pulau di nusantara Melayu.


Puteri perjuangan sebaris legenda besar


Maka akhirnya, kita mendarat di tanah air kita sendiri, Malaysia. Tanpa menyebut nama, kita juga mempunyai seorang puteri srikandi yang karismatik dan disayangi rakyat seluruh kaum dan agama.


Bezanya dengan cerita di India, Pakistan, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia, di tanah air kita ini puteri srikandi ini seperti anak pokok yang sukar subur di bawah pepohon yang lebat merimbun. Bapa si puteri perjuangan ini seorang yang berkuasa sekarang sebagai Bendahara, begitu jika di dalam Sejarah Melayu lama.


Walaupun baru-baru ini ada sedikit ribut dalam cawan kopi apabila Bendahara telah melantik si puteri srikandi ini sebagai penasihatnya dan dibantah sesetengah pihak yang anti-kroni, anti-nepotisme, anti-feudalisme moden, tetapi serangan-serangan itu kebanyakannya dituju kepada si bapa, bukannya kepada si anak.


Si bapa seperti seorang peninju profesional sehebat Muhammad Ali biasa sahaja menerima tumbukan dan asakan kuat pihak lawan. Tetapi yang menyerang tidak mahu mencederakan si anak, kerana puteri srikandi itu adalah suatu aset yang amat berharga kepada rakyat dan negara pada masa hadapan.


Si puteri ini adalah harapan kepada masa hadapan negara. Dia tidak muncul mewarisi legasi ayahnya di atas dulang perak atau emas. Sejak dia berumur belasan tahun lagi, dia telah turun ke gelanggang perjuangan ketika ayahnya terpenjara. Sejak dia anak dara, si puteri ini telah menjelajah ke sana sini di seluruh negara dalam menyampaikan agenda perjuangan reformasi yang dicetuskan oleh ayahandanya.


Dia juga adalah tunggak kekuatan kepada ibunya dan keluarga ketika si ayah bertahun-tahun dalam tahanan. Si puteri ini pernah lalui pelbagai ujian dan cabaran. Beliau pernah ditahan pak polisi. Pernah dipenjara dalam lokap reman kerana berdemonstrasi menuntut keadilan.


Puteri ini tidak ditatang dengan selendang sutera atau benang emas. Dia diuji dalam pilihanraya demokrasi. Tiga kali beliau yang memiliki double degree atau ijazah berganda ini menang pilihanraya dan diangkat menjadi Ahli Parlimen. Tiga penggal di parlimen bermakna selama 15 tahun si puteri ini telah berada di tengah-tengah gelanggang politik negara.


Si puteri perjuangan ini tidak boleh lagi kembali menjadi seorang engineer atau jurutera elektrik, iaitu bidang kepakarannya di universiti dulu. Tempatnya adalah dalam gelanggang politik untuk memimpin rakyat.


Si puteri ini juga tidak boleh sekadar menjadi pensyarah atau penganalisis ekonomi dan penggubal dasar-dasar awam seperti apa yang dipelajarinya untuk ijazah keduanya dari universiti Amerika yang terkemuka.


Tempat si puteri ini ialah di kancah perjuangan politik Malaysia yang bergelora setiap masa.


Permata berharga srikandi masa depan


Kalau pun si penulis turut terlibat menyerang si ayah dalam ribut perlantikan untuk si anak yang disayangi sebagai pewaris legasi, tetapi serangan itu dalam bahasa sukan boxing hanyalah sekadar mengguna kid’s glove sahaja. Tidak bertujuan untuk mencederakan si ayah atau si puteri yang menjadi permata berharga kepada masa hadapan rakyat dan negara.


Si puteri ini tidak sentiasanya menang dan belayar di laut yang tenang. Terbaru di dalam PRU yang lalu, puteri Bendahara ini menempuh kekalahan di sebuah permatang di utara Tanah Melayu di tangan parti politik lawan yang membawa naratif Melayu-Islam.


Ada hikmahnya dengan peristiwa kekalahan yang ditanggung oleh si puteri itu. Pahlawan agung dan srikandi terbilang di seluruh alam dan generasi silam merekodkan sejarah kemenangan dan kekalahan tokoh-tokoh terkemuka di medan perang atau di lapangan perjuangan. Perwira dan negarawan bernama Neopleon Bonarpart di bumi Perancis adalah antara tokoh yang dimaksudkan itu.


Lebih dekat dengan kita pula, bahawa pahlawan Langkawi pernah tewas di Kota Setar pada tahun 1969, sebelum Peristiwa 13 Mei. Hulubalang Kedah moden itu bangkit semula di Kubang Pasu beberapa penggal dan berjaya menjadi Bendahara yang keempat selama 22 tahun.


Jadi si puteri perjuangan ini sudah merasa menang, sudah merasa tewas, sudah merasa bertempur di mahkamah untuk mempertahankan nama baik dan integirit dirinya dari difitnah dan berakhir dengan kemenangan.Sudah banyak pengalaman pahit manis dilalui. Penulis berpendapat si puteri ini sudah bersedia untuk menggalas tugasnya memenuhi harapan tinggi dari rakyat.


Jadi masa depan si puteri ini di persada politik Malaysia kini terbuka luas, walaupun masih ada onak dan duri belukar, penuh akar dan rotan yang merintangi jalan.


Ketabahan dan kecekalan yang ditunjukkan oleh Puteri ini walaupun pernah kecundang, tewas dan jatuh, tetapi dia tetap bangkit kembali dan bergerak ke hadapan dengan berani, adalah ciri-ciri seorang srikandi. Inilah bezanya antara permata dengan kaca.

__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

1 comment

1 Comment


aswadi.adi80
Feb 17, 2023

Mengarut

Like

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page