top of page

Pusat belanja RM16 bilion untuk Johor, tinggi daripada kutipan hasil

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan MADANI membelanjakan purata RM16 bilion setahun untuk Johor bagi tempoh 2023 hingga 2025 sekali gus menafikan dakwaan bahawa hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dipulangkan kepada negeri itu.


Penjelasan itu dikemukakan menerusi bahan penerangan yang diedarkan jentera pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Johor pada kempen Pilihan Raya Negeri Johor 2026.


Menurut PH, dakwaan bahawa Johor menyumbang RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan tetapi hanya menerima semula jumlah kecil adalah tidak tepat kerana jumlah kutipan hasil Persekutuan tidak boleh dibandingkan secara terus dengan jumlah perbelanjaan kerajaan di negeri tersebut.


PH mendakwa Kerajaan MADANI sebenarnya berbelanja lebih tinggi berbanding jumlah hasil yang dikutip, dengan purata perbelanjaan tahunan untuk Johor sekitar RM16 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.


Perkara itu turut dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada majlis pengumuman calon PH bagi PRN Johor malam tadi dengan menegaskan sumbangan sesebuah negeri kepada Kerajaan Persekutuan perlu dilihat bersama tanggungjawab kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan pembangunan rakyat.


Dalam bahan penerangan itu, PH turut menyatakan Johor menerima antara peruntukan operasi (OE) dan pembangunan (DE) terbesar dalam negara selepas Sabah dan Sarawak.


Peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Johor juga didakwa meningkat sejak 2022 hingga 2026 dengan pecahan yang menunjukkan peningkatan peruntukan operasi dan pembangunan.


Selain itu, Johor disebut sebagai negeri kedua terbesar menerima peruntukan STR dan SARA selepas Selangor.


PH turut mengetengahkan beberapa insentif ekonomi khusus untuk Johor termasuk Forest City Special Financial Zone, Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), Maharani Gateway Integrated Energy Hub serta pembangunan deep sea port.


Antara projek besar Kerajaan Persekutuan di Johor yang disenaraikan ialah:


- Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru bernilai RM10 bilion

- Projek Rapid Transit System (RTS) Johor Bahru-Singapura bernilai RM6 bilion

- Pelebaran Lorong Ketiga PLUS bernilai RM2 bilion

- Projek tebatan banjir Johor bernilai RM3 bilion

- Loji Rawatan Kumbahan Sungai Kim-Kim bernilai RM700 juta

- Hospital Pasir Gudang bernilai RM472 juta


Bagi projek baharu pula, PH menyenaraikan:

- Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) bernilai RM10 bilion

- Hospital Sultanah Aminah 2 bernilai RM3.5 bilion

- Hospital USIM di Sedili bernilai RM1 bilion


Dalam Belanjawan 2026, antara peruntukan lain untuk Johor yang diketengahkan termasuk pembinaan 10 sekolah baharu bernilai RM1.4 bilion, 10 Klinik Kesihatan baharu bernilai RM365 juta, blok tambahan Hospital Pontian bernilai RM461 juta serta kerja pembaikan klinik kesihatan dan sekolah daif bernilai RM240 juta.


PH berkata semua angka tersebut menunjukkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Johor tidak boleh dinilai hanya berdasarkan jumlah hasil yang dikutip, sebaliknya perlu mengambil kira keseluruhan pembangunan dan perkhidmatan yang disalurkan kepada rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page