Pulangkan wanita ke tempat kerja, masa depan ekonomi negara lebih cemerlang
- Redzuan Shamsudin
- 2 hours ago
- 2 min read

Seruan untuk memperkasa penyertaan wanita dalam tenaga kerja terus menjadi fokus pasca sambutan Hari Pekerja 2026, dengan desakan agar kerajaan mengambil langkah lebih berani dan bersasar.
Exco Wanita KEADILAN Pusat, Karen Kasturi James (gambar) berkata, penghargaan kepada pekerja sahaja tidak memadai tanpa tindakan konkrit untuk memastikan lebih ramai wanita kembali dan kekal dalam pasaran kerja.
"Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pekerja Malaysia yang menjadi tulang belakang ekonomi negara. Namun, penghargaan sahaja tidak mencukupi. Negara memerlukan tindakan berani untuk memastikan lebih ramai wanita kembali dan kekal dalam tenaga kerja," katanya dalam kenyataan.
Beliau mengalu-alukan beberapa inisiatif yang diumumkan kerajaan semalam, termasuk Elaun Pasca Cuti Bersalin 30 hari serta peruntukan RM710 juta melibatkan sokongan Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Human Resource Development Corporation, selain perluasan perlindungan sosial kepada lebih ramai pekerja.
"Langkah ini wajar dihargai. Namun, ia masih belum menyentuh realiti jutaan wanita yang telah keluar daripada tenaga kerja dan berdepan kesukaran untuk kembali," ujarnya.
Menurut beliau, isu tersebut bersifat sistemik berdasarkan data semasa, termasuk kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang hanya 56.2 peratus berbanding 83 peratus bagi lelaki, selain seramai 4.86 juta wanita berada di luar tenaga kerja.
"Sebanyak 61 peratus graduan universiti adalah wanita, namun hanya sebahagian menyertai tenaga kerja. Wanita pula menerima sekitar RM66.67 bagi setiap RM100 yang diterima lelaki," katanya.
Tambah beliau, Malaysia berpotensi meningkatkan pendapatan per kapita sehingga 26.2 peratus sekiranya jurang gender dalam tenaga kerja dapat ditutup.
"Di sebalik angka ini, ada ibu yang terpaksa berhenti kerja, wanita berkelayakan yang tidak diberi peluang kedua, dan keluarga yang kehilangan sumber pendapatan," ujarnya.
Karen menegaskan bahawa wanita tidak memilih untuk meninggalkan pekerjaan, sebaliknya didorong oleh kelemahan sistem sedia ada.
Menurutnya kekurangan kemudahan penjagaan anak, dasar kerja yang tidak mesra keluarga dan stigma terhadap wanita yang kembali bekerja terus menjadi halangan utama.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melaksanakan beberapa reformasi dalam Belanjawan 2027, termasuk mewajibkan kemudahan taska di tempat kerja bagi majikan besar serta menetapkan sasaran kadar penyertaan tenaga buruh wanita sekurang-kurangnya 60 peratus sebelum 2027.
Karen turut mencadangkan pengukuhan program “career comeback” dengan KPI minimum 10,000 penempatan setahun, penguatkuasaan kesamarataan gaji, serta peruntukan sekurang-kurangnya RM500 juta bagi menyokong latihan semula, subsidi taska dan inisiatif membantu wanita kembali bekerja.
"Jika kita serius mahu menjadi negara berpendapatan tinggi, kita tidak boleh mengabaikan separuh daripada tenaga kerja. Malaysia tidak akan mencapai status negara maju selagi sebahagian besar wanita berada di luar tenaga kerja," katanya.
Beliau menegaskan, usaha mengembalikan wanita ke tempat kerja adalah keperluan mendesak demi memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi.
"Pulangkan wanita ke tempat kerja kerana Malaysia tidak boleh maju dengan separuh tenaga," katanya.
