UMNO tarik sokongan tambah masalah, patut selesai secara rundingan - Jufitri Joha
- Akmal Manaf

- May 2
- 2 min read

14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan sepatutnya bermuafakat dan mengadakan rundingan terlebih dahulu dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap krisis institusi adat.
Ahli Dewan Negara, Senator Jufitri Joha (gambar) berkata, hal ini kerana masih terdapat ruang untuk isu berkenaan diselesaikan secara bersama sebelum UMNO Negeri Sembilan mengambil langkah drastik pada Isnin lalu.
"Penarikan sokongan kepada Kerajaan Negeri menyebabkan ketidakstabilan Kerajaan (Perpaduan) yang tidak sepatutnya berlaku tatkala krisis tenaga global, krisis institusi adat dan fokus untuk merancakkan ekonomi negeri.
"Tindakan (menarik sokongan) itu menyusahkan dan menambah satu lagi masalah yang membuntukan lagi keadaan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan 14 ADUN UMNO-Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Sembilan awal minggu ini.
Turut ditanya mengenai ‘bayangan’ kerjasama antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk Kerajaan Negeri baharu yang dilihat melanggar semangat perjanjian bersama Pakatan Harapan (PH).
Berhubung hal itu, Jufitri berkata semangat #GerakBersama yang menjadi asas kerjasama PH-BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 sepatutnya diteruskan sehingga tamat mandat pada 2027.
Ujarnya, langkah itu penting agar rakyat yang memilih tidak merasakan mandat mereka dimungkiri, selain menegaskan prinsip ‘masuk bersama, tamat bersama’ wajar dipertahankan memandangkan tempoh menuju Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN tidak lama lagi.
"Ketika terlibat kempen PRN 2023 di Negeri Sembilan, saya melihat kesungguhan anggota PH-KEADILAN membantu kemenangan calon BN melalui terjemahan undi di sesetengah kawasan sengit.
"Dalam masa yang sama, saya fikir PN tidak wajar menawarkan kerjasama untuk kekal bermaruah.
"Kesimpulannya atas semangat #GerakBersama, UMNO-BN wajar pada asalnya berganding bahu menyelesaikan permasalahan ini, (dan) bukannya menambahkan lagi seperti apa yang berlaku ketika ini," ujar beliau.
Landskap politik di Negeri Sembilan secara tiba-tiba berdepan ketidaktentuan bermula 27 April lalu apabila UMNO-BN negeri itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin susulan krisis membabitkan Institusi Adat dan Perlembagaan.
Penarikan sokongan itu diumumkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Namun, Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri berkata, beliau dititahkan oleh Tuanku Muhriz agar meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri itu.
Untuk rekod, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN menguasai 14 kerusi, manakala PN lima kerusi dalam PRN ke-15 pada 2023.
PH dan BN membentuk kerajaan apabila menguasai 31 kerusi DUN selepas pilihanraya tersebut.




Comments