Teliti semula penganjuran Festival Muzik Air - AMANAH
- Redzuan Shamsudin
- 1 hour ago
- 1 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa kerajaan meneliti semula kewajaran penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang didakwa tidak selari dengan budaya dan norma masyarakat Malaysia.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil (gambar) berkata, konsep festival tersebut dilihat diimport dari luar dan tidak mencerminkan nilai tradisional tempatan.
"AMANAH memandang serius penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 sebagai bertentangan dengan budaya dan norma Malaysia. Konsep festival ini adalah diimport dari negara luar yang tidak mencerminkan budaya asal negara ini," katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut merujuk kepada kandungan acara yang tular di media sosial, yang menurutnya saling tidak tumpah sebagaimana yang dianjurkan oleh kelab kelab hiburan.
"Melihat kepada acara yang dianjurkan dalam Festival ini semalam yang viral di media sosial seolah-olah ia adalah acara kelab malam yang dianjurkan di tempat terbuka yang sememangnya satu budaya asing," ujarnya.
Menurut beliau, terdapat sebahagian pengisian festival itu yang berpotensi memberi kesan negatif terhadap pembangunan sahsiah golongan muda.
"AMANAH berpandangan terdapat sebahagian acara Festival ini yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pembinaan anak muda yang mampan dan berdaya tahan selari dengan konsep Madani,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menilai semula konsep serta kandungan festival berkenaan yang turut dianjurkan di beberapa negeri termasuk Kedah, Terengganu, Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.
"Kami berpandangan kerajaan perlu meneliti semula penganjuran ini supaya ia selari dengan nilai Malaysia tanpa menjejaskan usaha menjadikan negara sebagai destinasi pelancongan," katanya.
Tambah beliau, keseimbangan antara pembangunan industri pelancongan dan pemeliharaan nilai budaya tempatan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
