Pelarasan peruntukan: Rakyat tidak terjejas, pembangkang jangan politikkan isu
- Hasbul Ahmad
- 3 minutes ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN Bukit Mertajam, Pulau Pinnag menyifatkan cadangan pelarasan peruntukan melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai langkah fiskal yang bertanggungjawab demi memastikan kelestarian ekonomi negara dalam jangka panjang.
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf Amram (gambar) berkata, isu itu perlu dilihat dalam kerangka lebih menyeluruh berasaskan realiti ekonomi semasa serta prinsip pengurusan fiskal yang berhemah dan berdisiplin.
"Dalam persekitaran global yang mencabar, termasuk kadar faedah antarabangsa yang tinggi, tekanan inflasi import dan ketidaktentuan geopolitik, Malaysia turut berdepan tekanan yang memerlukan pendekatan dasar yang berhati-hati dan berimbang.
"Pengurusan fiskal yang berdisiplin, termasuk kawalan defisit serta pengoptimuman perbelanjaan, adalah penting bagi menjamin kestabilan ekonomi dan mengekalkan keyakinan pelabur terhadap negara," kata Abshar dalam kenyataannya.
Sehubungan itu tegas beliau, cadangan pelarasan peruntukan tidak wajar ditafsirkan sebagai pengabaian kerajaan terhadap sektor kritikal, sebaliknya dilihat sebagai usaha menyusun semula keutamaan perbelanjaan secara strategik, termasuk mengurangkan ketirisan, menilai perbelanjaan berimpak rendah serta memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, Abshar yang merupakan Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan AMK Malaysia menangkis kenyataan dibangkitkan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang cuba menggambarkan pelarasan tersebut sebagai menjejaskan kepentingan rakyat secara menyeluruh.
"Kenyataan sedemikian tidak mengambil kira keseluruhan konteks pengurusan fiskal negara dan keperluan menjamin kelestarian ekonomi jangka panjang, sebaliknya lebih bersifat politik.
"Pendekatan perbelanjaan bersasar adalah lebih tepat dalam keadaan semasa, dengan penyaluran sumber kepada golongan yang benar-benar memerlukan serta memberi penekanan kepada keberhasilan dan impak sosial maksimum," ujar Abshar.
Beliau menegaskan perbahasan dasar ekonomi tidak seharusnya dipolitikkan secara berlebihan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakya t dan semua pihak termasuk pembangkang diseru mengemukakan cadangan yang konstruktif serta berasaskan fakta dan data.
Menurutnya, pengurusan negara menuntut keseimbangan antara memenuhi keperluan semasa rakyat dan menjamin kedudukan kewangan negara untuk generasi akan datang dan kerajaan MADANI kekal komited untuk memperkukuh sistem kesihatan awam, menjamin akses pendidikan berkualiti serta melindungi kebajikan rakyat, khususnya golongan rentan.
Sehubungan itu, Abshar menyeru semua pihak agar menghentikan polemik tidak membina dan bersama-sama menyumbang idea serta kepakaran bagi memperkukuh dasar ekonomi negara.
"Sebarang pelarasan yang dilaksanakan bertujuan memastikan sistem ini terus mampan dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa hadapan," kata Abshar lagi.
