top of page

PRU 16 awal: Umno ‘takut pada bayang-bayang sendiri’?

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read

Gesaan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 disegerakan disifatkan sebagai tindakan yang seolah-olah menunjukkan parti itu “takut pada bayang-bayang sendiri”.


Ketua Cabang KEADILAN Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, tiada keperluan untuk PRU-16 dilaksanakan dalam tempoh terdekat kerana kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha membersihkan salah laku dan memperbaiki tatakelola pemerintahan terdahulu.


"Tiada keperluan untuk melaksanakan Pilihanraya Umum ke-16 dengan kadar segera. Sebaliknya kerajaan harus memfokuskan kepada usaha pembersihan salah laku dan urus tadbir yang berlaku dalam pemerintahan terdahulu.

Syed Badli Shah Syed Osman
Syed Badli Shah Syed Osman

"Gesaan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk PRU disegerakan dilihat seperti takut kepada bayang-bayang sendiri berikutan beberapa skandal melibatkan pelbagai institusi kerajaan kini sedang dibawa ke muka pengadilan seperti RCI Tabung Haji dan FELDA," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Syed Badli, perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan sama ada Zahid bimbang lebih ramai pemimpin Umno akan terpalit sekiranya PRU diadakan hingga hujung tahun depan.


"Adakah Zahid khuatir lebih ramai pemimpin Umno akan terpalit dengan pelbagai salah laku rasuah dan urus tadbir dalam pemerintahan terdahulu sehingga beliau terpaksa mencari helah kononnya rakyat yang mahukan PRU disegerakan?


"Jangan heret rakyat dalam usaha menyelamatkan imej Umno dari calar balar yang berlaku," katanya.


Beliau berkata, perkara yang mahu dilihat rakyat ketika ini ialah kerajaan memerangi rasuah, mengambil tindakan terhadap salah urus tadbir dan memperbetulkan kepincangan tatakelola.


"Umno selaku komponen dalam Kerajaan Perpaduan seharusnya menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan kembali pelbagai kepincangan dalam institusi kerajaan terdahulu dan bukannya bertindak mencari helah untuk menyembunyikan salah laku dengan gesaan untuk menyegerakan pilihanraya," katanya.


Sehubungan itu, Syed Badli Shah mengajak Umno supaya kembali menghormati perjanjian penubuhan Kerajaan Perpaduan dan bersama-sama mempertahankan kerajaan sehingga hujung penggal.


"Saya ingin mengajak Umno untuk kembali memghormati perjanjian penubuhan kerajaan perpaduan dan bersama mempertahankan Kerajaan sehingga hujung penggal dengan mengekalkan imej bersih anti rasuah dan tatakelola yang baik," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page