Projek tebatan banjir, kawalan hakisan RM83.46 juta di Selangor


Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyerahkan beberapa projek pembangunan strategik bernilai keseluruhan RM83.46 juta kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi memperkukuh infrastruktur tebatan banjir, kawalan hakisan pantai dan pemuliharaan kawasan pesisir.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek itu melibatkan usaha memperkukuh infrastruktur tebatan banjir, menaik taraf sungai, kawalan hakisan pantai serta pemuliharaan kawasan pesisir di beberapa daerah di negeri itu.
"Pelaksanaan projek-projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan daya tahan Selangor terhadap risiko banjir dan hakisan pantai, malah mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan keselamatan rakyat serta kelestarian alam sekitar terus terpelihara," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Penyerahan dan Penerimaan Projek Pembangunan PETRA kepada Kerajaan Negeri Selangor yang menandakan siapnya beberapa projek penting untuk dimanfaatkan rakyat.
Antara projek terbabit ialah kerja-kerja pengukuhan tebing Sungai Klang di Shah Alam, menaik taraf Sungai Kemensah dan beberapa sungai berkaitan di Hulu Klang, projek kawalan hakisan serta pengukuhan benteng pantai di Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor, selain projek pemuliharaan Pantai Morib.
Amirudin berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan melalui PETRA dan semua agensi pelaksana atas kerjasama erat dalam merealisasikan projek-projek tersebut.
“Semoga semua aset yang diserahkan hari ini dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran seluruh rakyat Selangor,” katanya.




Comments